3/25/2010

EMOTIONAL QUOTIENT (EQ) ATAU KECERDASAN EMOSI

Abstrak
Jika dilihat di dalam konteks pendidikan di Malaysia, penyelidikan dan kajian tentang kecerdasan emosi masih kurang dilakukan. Pembelajaran sosial dan emosi dalam kurikulum di sekolah-sekolah Malaysia dilaksanakan secara tidak langsung dan ia tidak dijadikan sebagai satu subjek atau perkara yang khas (Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia 1983).Pada kebiasaannya, beberapa andaian wujud di mana kemahiran-kemahiran sedemikian diperoleh oleh para pelajar melalui kurikulum terselindung yang disampaikan oleh guru-guru secara tidak langsung. Namun, terdapat beberapa mata pelajaran seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral yang dijadikan subjek utama bagi memenuhi perkembangan yang berkesan pelajar-pelajar di Malaysia.
Tiga unsur yang akan diberikan keutamaan di dalam tugasan ini meliputi aspek intelek, emosi dan rohani. Aspek intelek dilihat melalui konteks pencapaian akademik yang merangkumi kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira, sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan, mempunyai daya pemikiran yang kreatif dan kritis supaya mampu menghasilkan idea-idea yang bernas. Emosi pula adalah di dalam bentuk pengukuran kecerdasan emosi, iaitu dari aspek mempunyai perasaan yang tenang dan berfikiran waras. Aspek rohani dan jasmani dari segi tingkahlaku yang menekankan tingkahlaku yang terkawal serta memiliki dan memupuk kasih sayang (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1992)


Bahagian A: Kepentingan Emotional Quotient (EQ) atau
Kecerdasan Emosi dalam pengajaran
Pendidikan Moral

1.1 Pengenalan
Dalam penghidupan, seseorang individu perlu melalui berbagai proses perkembangan sehingga kematangan bagi mencapai matlamat modal insan menyeluruh. Salah satu proses yang dialami ialah proses perkembangan moral. Mengikut Berk (1989), proses perkembangan moral melibatkan tiga komponen kendiri moral individu. Beliau menyenaraikan komponen-komponen tersebut sebagai penaakulan moral (moral reasoning), emosi moral (moral feelings) dan tingkah laku moral (moral behavior). Ketiga-tiga komponen tersebut adalah berbeza tetapi saling berkait.
Penaakulan moral dan emosi moral mempengaruhi tingkah laku moral individu. Dalam usaha melahirkan insan yang bermoral, Pendidikan Moral memainkan peranan yang penting untuk melahirkan modal insan menyeluruh yang dikehendaki. Pendidikan Moral telah diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran formal dalam kurikulum Baru Sekolah Rendah pada tahun 1983 kepada semua pelajar bukan Islam di darjah satu. Pelajar tingkatan satu mula belajar Pendidikan Moral pada tahun 1989. Pendidikan Moral juga mula bertaraf mata pelajaran peperiksaan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia mulai tahun 1993.
Faktor kecerdasan emosi dilihat sebagai faktor yang mempengaruhi pembelajaran seseorang pelajar. Justeru itu ia akan membawa implikasi terhadap pencapaian akademik mereka. Statidtik menyatakan bahawa pencapaian akademik yang cemerlang sering dikaitkan dengan kecerdasan pelajar yang tinggi sedangkan aspek emosi tidak diberikan penekanan sewajarnya. Walau bagaimanapun, ahli psikologi telah menyedari akan kepentingan peranan kecerdasan emosi pelajar dalam menjayakan pencapaian akademik mereka.

1.2 Definisi Kecerdasan Emosi (EQ)
Istilah emotional intelligence (EQ) mula-mula sekali digunakan pada tahun 1990 oleh ahli psikologi iaitu Peter Salovey (Universiti Harvard) dan John Mayer (Universiti New Hampshire). Ia digunakan bagi menjelaskan kualiti-kualiti diri khusus yang terdapat pada emosi yang penting supaya seseorang dapat mencapai kejayaan.
Lima tahun selepas itu, Daniel Goleman (1995) mempopularkan EQ dalam bukunya Emotional Intelligence dan sekali gus berjaya membangkitkan kesedaran orang ramai berkenaan konsep ini yang bermula dengan implikasinya ke atas mendidik kanak-kanak sehinggalah kepentingannya di tempat kerja dan hampir dalam semua interaksi manusia.
Seandainya seseorang berkebolehan mengenal perasaan atau emosi apabila ia timbul, beliau dikatakan mempunyai sedikit kesedaran kendiri dan seterusnya kecerdasan emosi. Sekiranya seseorang dapat mengenali perasaan atau emosi secara mendalam, beliau berasa lebih mudah menjalani kehidupannya.
Seperti aspek lain dalam kehidupan, kecerdasan emosi mempunyai peranan yang besar dalam bidang pendidikan. Hakikatnya kecerdasan emosi menjadi pendukung kepada kecerdasan intelek dalam menjamin kualiti produk yang dihasilkan. Apabila diperhalusi dalam segala aspek pendidikan sama pendidikan secara umum, pendidikan kanak-kanak, pendidikan orang dewasa apatah lagi pendidikan tinggi menekan aspek kecerdasan emosi sama ada dalam pembentukan dan perlaksanaan kurikulum ataupun dalam aspek pembangunan profesionalisme pendidiknya.
Ramai sarjana berpendapat istilah emosi sukar hendak diterjemahkan ia adalah milik peribadi seseorang. Sebagai manusia biasa, kita pasti tidak lari daripada melakukan kesalahan dan ini disebabkan tahap pemahaman diri seseorang itu begitu rendah ketika cuba memahami maksud yang ingin disampaikan oleh rakan dan kenalan.
Emosi atau perasaan sebagai salah satu unsur yang terdapat pada manusia yang menjadi subjek tumpuan dalam disiplin psikologi kognitif dan tingkah laku yang dikaji dalam disiplin psikologi oleh Freud, Rogers, Maslow, dan Gardner yang terlebih dahulu mengkaji fenomena emosi manusia yang diterjemah menerusi pelbagai teori dan model mereka. Justeru itu, tidak hairanlah menurut sebuah klise yang diungkapkan oleh Plato iaitu “emosi hanya dimiliki oleh manusia, namun tidak semua manusia memiliki kemanusiaan”.
Apabila kecerdasan emosi mula-mula diperkenalkan kepada dunia banyak sarjana dan pemikir yang mempersoalkan berkenaan keperluan dan signifikannya kepada ‘kepintaran manusia’. Hal ini kerana, ‘kepintaran’ menurut pandangan mereka merujuk kepada kepintaran kognitif yang menggunaan simbol IQ. Namun selepas beberapa tahun ia diperkenalkan secara giat dan komprehensif oleh sarjana-sarjana psikologi daripada sekolah-sekolah psikologi ternama seperti Havard dan Yale, kepintaran emosi menjadi kesedaran dan momentum baru kepada mana-mana individu, institusi dan masyarakat seluruh dunia. Justeru itu, kepintaran tidak lagi menjadi faktor dominan sebagai penentu penentu kepintaran manusia. Manusia pintar dan bijaksana dalam dekad ini bukan sahaja memiliki IQ yang tinggi malah EQ yang tinggi.

1.3 Kepentingan Emotional Quotient (EQ) atau kecerdasan emosi
dalam pengajaran Pendidikan Moral
Selama ini, ramai yang menganggap bahawa jika seseorang individu itu memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang tinggi, maka individu itu akan memiliki peluang untuk meraih kejayaan yang lebih baik berbanding dengan yang lain. Bagaimanapun, terdapat banyak kes di mana seseorang yang memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang tinggi tersisih daripada orang yang memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang lebih rendah. Ini membuktikan bahawa kecerdasan intelektual yang tinggi tidak menjamin seseorang itu akan meraih kejayaan dalam hidupnya.
Sebaliknya, kecerdasan emosi didapati dapat mengurangkan jurang penyisihan ini. Kecerdasan emosi boleh dikembangkan seumur hidup melalui proses pembelajaran. Kecerdasan emosi lahir seiring dengan pertumbuhan seseorang individu sejak lahir sehinggalah beliau meninggal dunia. Pertumbuhan kecerdasan emosi dipengaruhi oleh keluarga, lingkungan persekitaran dan contoh-contoh pengalaman yang diperolehi seseorang sejak lahir dari kedua ibu bapanya. Kecerdasan emosi mempunyai kaitan dengan pelbagai aspek yang dirasakan semakin sukar dilihat dalam kehidupan manusia yang semakin moden dan maju kini. Sebaliknya, kecerdasan emosi didapati dapat mengurangkan jurang penyisihan ini. Kecerdasan emosi boleh dikembangkan seumur hidup melalui proses pembelajaran. Kecerdasan emosi lahir seiring dengan pertumbuhan seseorang individu sejak lahir sehinggalah beliau meninggal dunia. Pertumbuhan kecerdasan emosi dipengaruhi oleh keluarga, lingkungan persekitaran dan contoh-contoh pengalaman yang diperolehi seseorang sejak lahir dari kedua ibu bapanya. Kecerdasan emosi mempunyai kaitan dengan pelbagai aspek yang dirasakan semakin sukar dilihat dalam kehidupan manusia yang semakin moden dan maju kini.
Matlamat Pendidikan Moral untuk sekolah rendah ialah membentuk insan yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan boleh menyumbang ke arah kehormonian dan kestabilan negara serta masyarakat global.
Antara objektif-objektif Pendidikan Moral untuk sekolah rendah ialah:
1. memahami dan menghayati nilai-nilai murni masyarakat Malaysia
2. Meningkatkan amalan budi pekerti mulia
3. Menyedari dan menerima kepentingan tanggungjawab moral dan sosial bagi mengekalkan kesejahteraan hidup dalam perhubungan diri dengan keluarga, masyarakat, negara serta alam sekitar.
4. Mengembangkan dan mengaplikasi pemikiran moral, perasaan moral dan perlakuan moral dalam membuat sesuatu pilihan dan keputusan yang selaras dengan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.


Selain itu, Pendidikan Moral juga merupakan satu cara untuk menghasilkan insan bermoral. Insan bermoral hendaklah mempunyai tiga komponen berikut:

Bil. Komponen : Perkara

a. Kandungan • Peraturan masyarakat• Keperibadian mulia

b. Bentuk • Etika pinsip • Etika situasi

c. Dimensi • Penaakulan• Emosi • Tingkah laku

Seseorang insan bermoral adalah seseorang yang memahami keperluan untuk peraturan dalam masyarakat tetapi tidaklah pula mematuhi tanpa berfikir.
Antara empat kepentingan Emotional Quotient (EQ) atau kecerdasan emosi dalam pengajaran Pendidikan Moral berdasarkan aspek-aspek berikut:
• Kesedaran kendiri
• Mengendalikan emosi
• Penentuan matlamat
• Kemahiran bersosial

1.3.1 Kesedaran Kendiri
Kesedaran kendiri ialah kebolehan mengenal pasti, mengakui dan mengiktiraf perasaan dan memahami mengapa perasaan itu wujud. Tanpa kesedaran kendiri, bermakna individu itu boleh bertindak balas dengan persekitaran tetapi tidak mampu membina makna hasil daripada tindakan dan reaksi itu. Dalam dunia pendidikan, tidak dapat dinafikan para pelajar mahu ataupun tidak terpaksa berdepan dengan pelbagai permintaan dan harapan mereka semenjak mereka mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan sehinggalah ke peringkat pendidikan tinggi.
Peperiksaan, ujian, kerja rumah, tugasan, kuiz, pertindihan jadual waktu, kekurangan guru, kesibukan ibu bapa dan sikap guru adalah antara perkara yang menyumbang kepada ketidakstabilan emosi di kalangan pelajar semasa pengajaran Pendidikan Moral. Tekanan itu ditambahkan lagi dengan adanya masalah kewangan, keluarga, rakan-rakan, dan masalah di bilik darjah. Keadaan ini menyebabkan pelajar menjadi tertekan, mengalami gangguan tidur, kekurangan zat makanan, murung sehingga mereka boleh sampai ke tahap mengalami masalah tingkah laku seperti vandalisme, merokok, ketagihan dadah dan lain-lain lagi.
Bagi pelajar yang mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi, mereka berkebolehan dan berkemampuan menangani ketidakstabilan emosi berpunca daripada tekanan itu dengan positif seterusnya berjaya mengurusnya dengan baik. Seharusnya pelajar mengetahui dan memahami punca tekanan emosi yang mereka hadapi bagi membolehkannya mencari jalan bagi menanganinya.
Seseorang guru Pendidikan Moral seharusnya sentiasa memelihara kestabilan emosi pelajar melalui kesediaan mereka dalam menerima dan mendengar keluhan dan masalah yang dihadapi oleh para pelajar. Akan timbul ketidakadilan apabila para pendidik hanya melayan para pelajar yang sering dan pandai mengemukakan soalan dan idea serta berkeupayaan berkomunikasi dengan berkesan berbanding pelajar yang gugup, tidak pernah mengeluarkan idea serta pasif.
Dengan mempunyai latihan tentang kesedaran kendiri yang tinggi akan membolehkan pelajar mengemuka idea dan soalan dengan berkeyakinan hasil daripada kesedaran kendiri yang tinggi yang sudah tentu bukan senang untuk diperoleh oleh semua pelajar. Anjakan paradigma di kalangan guru diperlukan di mana mereka harus sedar dan memahami pelajar, yakni semua pelajar haruslah dilayan dengan penuh bijaksana bagi melahirkan kesedaran kendiri yang tinggi dalam diri mereka. Misalnya pelajar yang tidak pernah bertanya dan tidak pernah mengeluarkan idea, pandangan dan soalan haruslah juga mendapat perhatian daripada guru, apabila, apabila mereka tidak bertanya, guru haruslah memulakan pertanyaan. Apabila mereka tidak pernah mengeluarkan idea dan pandangan, rangsang mereka melalaui pelbagai kaedah sehingga mereka mampu mengeluarkan idea dan pandangan.

1.3.2 Mengendalikan Emosi
Kemahiran mengendalikan emosi adalah salah satu elemen penting dalam menentukan kejayaan dalam kehidupan. Perasaan seperti tertekan, murung, dan sedih harus dikendalikan dan diuruskan dengan bijaksana terutamanya di kalangan para pelajar yang sentiasa berdepan dengan pelbagai masalah dan tekanan emosi terutamanya apabila menjelang peperiksaan.
Tidak dinafikan pelajar yang mempunyai kecerdasan intelek yang tinggi mampu menandingi kecemerlangan dan kejayaan pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan intelek yang sederhana tetapi mempunyai kemahiran mengendalikan emosinya dengan baik.
Dalam konteks ini, konsep kejayaan harus diperhalusi. Biasanya masyarakat mengukur kejayaan seseorang melalui pencapaian pelajar dalam bidang akademik. Sedangkan pada hakikatnya, kejayaan seseorang harus diukur daripada sudut akademik dan juga bukan akademik.
Dalam konteks Pendidikan Moral, seseorang guru haruslah melatih pelajar mengawal dan mengendalikan emosi dengan bijaksana. Peranan guru dan pihak pengurusan sekolah harus menyedari kepentingan kaedah dan teknik menggendalikan emosi terutamanya apabila berurusan dengan pelajar.
Seseorang guru boleh membimbing pelajar menyedari dan memahami keadaan dan situasi apabila dalam keadaan marah, sedih, dan tertekan. Dengan cara ini seseorang pelajar dapat mengawal dan memantau emosinya dengan baik. Sekiranya dia dalam keadaan sedih, dia akan berusaha mengembalikan keceriaanya dengan berbual-bual dengan rakan-rakannya. Sebaliknya jika dia tidak mampu memantau emosi sedihnya, dia akan berada dalam keadaan murung dan keadaan ini akan menyebabkan kesihatan mentalnya terganggu. Kesihatan yang terganggu menyebabkan perubahan tingkah laku daripada normal kepada abnormal seperti ponteng sekolah, tidak menyiapkan tugasan, dan bersikap pendiam.

1.3.3 Empati
Empati ialah kebolehan menyedari dan memahami perasaan orang lain. Ini bermakna, individu yang mempunyai empati, dapat mengenali dan memahami perasaan orang lain sama ada dinyatakan oleh orang itu ataupun tidak. Integrasi antara komunikasi verbal dan non-verbal dengan persekitaran dan situasi adalah kaedah yang digunakan bagi menerbitkan empati dalam diri kita.
Bagi pelajar, empati membolehkan mereka mengenali dan memahami keadaan dan situasi terlebih dahulu sebelum memulakan tindakan terutamanya apabila tindakan yang diambil itu berkait secara langsung dengan guru atau pihak sekolah.
Sebagai contoh, seseorang pelajar yang mempunyai empati mengambil kira masa yang paling sesuai untuk berbincang dengan guru berkenaan tugasan yang tidak dapat disempurnakan dalam masa yang ditentukan. Ini dapat memastikan dia tidak dimarahi ataupun digagalkan oleh gurunya.
Dalam konteks ini, seseorang guru Pendidikan Moral harus memainkan peranan penting dalam usaha membina empati di kalangan pelajar. Guru harus menyediakan pengalaman pembelajaran yang mampu meningkatkan empati di kalangan pelajar melalui pelbagai kaedah seperti melatih pelajar kemahiran mendengar, mengaitkan pengajaran dan pembelajaran dengan keadaan semasa dan seterusnya elemen empati merentasi mata pelajaran yang diajar.

1.3.4 Kemahiran bersosial
Kesedaran kendiri, mengendali emosi, empati, pemantauan diri, dan penentuan matlamat akademik dan diri adalah elemen yang menjadi penggerak dalam membangun dan membina kemahiran bersosial dalam diri individu. Dalam dunia pendidikan terutamanya, kemahiran bersosial adalah salah satu agenda utamanya sama ada diterjemahkan dalam kurikulum itu sendiri ataupun tersirat dalam kurikulum yang tersembunyi.
Sehingga ke hari ini, pendidikan memainkan peranan dalm menjana semangat perpaduan, cintakan negara dan memupuk semangat dan nilai toleransi di kalangan kanak-kanak dan remaja yang satu hari nanti menjadi harapan negara untuk membentuk dan membawa negara ke arah yang lebih progresif. Oleh itu, metodologi pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan sentiasa menekankan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berupaya membina kemahiran bersosial dikalangan pelajar. Contohnya, kaedah perbincangan dan kerja lapangan dijalankan secara berkumpulan.
Dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral, para guru seharusnya sentiasa menggalakkan para pelajar berinteraksi dan bergaul dengan semua peringkat warga sekolah di samping memantau teknik dan kaedah yang digunakan oleh pelajar supaya teknik bersosial yang dipelajari dan diamalkan oleh pelajar memenuhi nilai dan ciri sosial peradaban ketimuran.
Antara objektif yang ingin dicapai ialah membangunkan elemen dalam kecerdasan emosi seperti nilai hidup bermasyarakat, mahir berkomunikasi dalam pelbagai bahasa, penghargaan budaya pelbagai etnik, nilai bermasyarakat, akhlak dan etika yang berasaskan agama dan moral yang tinggi, kemahiran berfikir dan sebagainya.

1.4 Kesimpulan
Kesimpulannya, pendidik bukan sahaja mengetahui elemen kecerdasan moral malah mereka juga harus menyedari, memahami dan mengimplementasikan elemen itu dalam semua mata pelajaran yang diajar. Elemen kecerdasan emosi ini bukan sahaja digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran sahaja tetapi yang penting sekali adalah sewaktu berinteraksi dengan pelajar. Pendidik harus bijaksana dalam memastikan elemen ini diaplikasikan dan dalam masa yang sama mempu mengerakkan pelajar dalam kecemerlangan akademik dan pembangunan diri para pelajar.


Bahagian B : Emotional Quotient (EQ) atau Kecerdasan
Emosi dalam proses pengajaran dan
pembelajaran Pendidikan Moral

2.1 Pendahuluan
Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. Pendidikan dilihat sebagai satu medium yang penting kepada pencapaian elemen-elemen tersebut. Untuk menjamin kesejahteraan dan keharmonian ini akan sentiasa berterusan, faktor emosi perlulah dikawal dan dijaga sentiasa. Kecerdasan emosi pelbagai kaum hendaklah sentiasa diberi penekanan dan dikawal dari kecil lagi. Begitu juga perbezaan antara gender iaitu lelaki dan perempuan. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang terancang maka matlamat tersebut akan tercapai. Pengajaran dan pembelajaran dalam Pendidikan Moral adalah berasaskan aktiviti yang memerlukan penglibatan murid secara aktif. Oleh itu, guru perlu merancang pengajaran dan pembelajaran supaya aktiviti di bilik darjah berjalan lancar.

2.2 Cara untuk memasukkan Emotional Quotient (EQ) atau
kecerdasan emosi semasa proses pengajaran dan
pembelajaran Pendidikan Moral
Terdapat pelbagai kaedah yang boleh diaplikasikan guru dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral seperti pembelajaran aktif, pembelajaran koperatif, pembelajaran secara kontekstual, pengaplikasian kecerdasan pelbagai, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dan Theory of Constraints (TOC). Guru digalakkan menggabungkan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran supaya aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah menarik dan berkesan.
Antara cara kecerdasan emosi diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral adalah seperti beberapa aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bawah:
2.2.1 Aktiviti 1
Dalam sesi pengajaran pembelajaran Pendidikan Moral untuk kelas Tahun 2 yang bertajuk ‘Undang-undang Jalan Raya Kita Patuhi’ boleh dikaitkan dengan pembelajaran kontekstual.
Sesi pengajaran selama 30 minit di mana objektifnya menekan kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya; dan bertimbang rasa dan bersopan di jalan raya boleh dikaitkan dengan pengalaman murid berkaitan kesedaran mematuhi undang-undang jalan raya sebagai pengetahuan sedia ada.
Secara berpasangan, murid diminta berbincang tentang isi pelajaran ini berdasarkan gambar kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dan juga beberapa tanda isyarat jalan raya yang dipamerkan oleh guru.
Melalui aktiviti perbincangan ini boleh membantu murid meningkatkan kesedaran kendiri dengan mengemukakan soalan dan idea serta berkeupayaan melatih mereka berkomunikasi dengan baik melalui sesi pelaporan hasil perbincangan. Guru haruslah memberikan peluang yang adil kepada semua murid untuk mengemukakan pendapat mereka di samping menggalakkan murid yang pasif di dalam kelas berinteraksi bagi menanam rasa yakin dalam diri mereka. Guru haruslah bijak merangsang murid dengan pelbagai kaedah sehingga mereka mampu mengeluarkan idea dan pandangan. Kesannya murid akan lebih bermotivasi dalam pembelajaran mereka dan membantu pencapaian akademik yang lebih baik.

2.2.2 Aktiviti 2
Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral Tahun 2 yang bertajuk ‘Bertoleransi dalam Persahabatan’ yang boleh dikaitkan dengan pembelajaran kemahiran berfikir.
Sesi pengajaran selama 30 minit dan objektif yang hendak dicapai ialah murid dapat menyenaraikan kesan bersikap bertoleransi dalam persahabatan. Dari segi pengetahuan sedia ada murid, mereka selalu berada dalam keadaan yang tegang terutamanya semasa menjalinkan perhubungan bersama-sama rakan-rakan setiap hari.
Aktiviti bersoal jawab berkaitan pantun berkaitan toleransi dalam persahabatan boleh menimbulkan permasalahan hendak disampaikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut. Berdasarkan pantun tersebut, guru bersoal jawab memandu murid memahami maksud berkaitan toleransi yang terkandung iaitu sikap berbaik-baik, bermusuh dan sebagainya.
Kemudian murid-murid dibahagikan kepada empat pasangan murid dan berdasarkan kad dialog pasangan 1 menjalankan aktiviti simulasi dalam keadaan tegang dan tidak bertoleransi. Pasangan 2 menjalankan aktiviti simulasi dalam keadaan tenang dan bertoleransi. Pasangan 3 menjalankan aktiviti simulasi dengan watak Ajay dalam keadaan marah tetapi watak Daniel dalam keadaan tenang. Pasangan 4 menjalankan aktiviti simulasi watak Ajay dalam keadaan tenang tetapi watak Daniel dalam keadaan marah.
Setelah itu, murid-murid dalam kumpulan dikehendaki berbincang bagi menyenaraikan sikap-sikap yang dikehendaki dan yang tidak dikehendaki. Semasa sesi pelaporan murid-murid dikehendaki menyenaraikan sikap-sikap yang dikehendaki dalam perhubungan dengan rakan dalam kehidupan sehari-hari-harian.
Melalui aktiviti ini, guru boleh melatih murid dalam mengawal dan mengendalikan emosi dengan bijaksana. Melalui kecerdasan emosi ini seseorang murid itu bukan sahaja dapat mengendalikan emosinya semasa menjalinankan perhubungan dengan rakannya sahaja malah boleh menanam sikap yang berbudi bahasa apabila berurusan dengan orang yang lebih tua daripada mereka. Di samping itu, seseorang pelajar dapa menyedari dan memahami keadaan dan situasi apabila dalam keadaan marah, sedih, dan tertekan. Dengan cara ini seseorang pelajar dapat mengawal dan memantau emosinya dengan baik serta tidak melanggar peraturan sekolah seperti ponteng sekolah, tidak menyiapkan tugasan, bergaduh dan sebagainya.

2.2.3 Aktiviti 3
Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral Tahun 2 yang bertajuk ‘Alam Milik Bersama’ yang boleh dikaitkan dengan pembelajaran kajian masa depan.
Sesi pengajaran selama 30 minit dan objektif yang hendak dicapai ialah murid dapat menyenaraikan kesan pencemaran terhadap hidupan. Dari segi pengetahuan sedia ada murid, mereka selalu melihat pencemaran yang berlaku di sekeliling kawasan tempat tinggal mereka.
Guru menunjukkan gambar beberapa orang kanak-kanak sedang bermain dengan berlatar belakangkan persekitaran yang tercemar. Kemudian beliau meminta murid menceritakan apakah situasi yang mereka lihat itu. Berdasarkan kad situasi pula, guru meminta murid melakonkan watak ikan, pokok, kulit kacang, kotak minuman dan beg plastik. Kemudian murid diminta menceritakan perasaan mereka berdasarkan watak-watak tersebut. Melaluinya murid diminta membuat rumusan akibat yang bakal dihadapi akibat perlakuan manusia yang tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran itu.
Sesi pengajaran dan pembelajaran diteruskan dengan murid membuat ikrar tidak melakukan pencemaran alan serta membina sekeping kad yang berbentuk hati serta menulis ayat yang menunjukkan kasih sayang kepada alam sekitar, contohnya ‘Saya sayang kepada bumi’ dan sebagainya. Kecerdasan emosi yang diharapkan dapat diterapkan ialah murid kebolehan menyedari dan memahami perasaan orang lain. Ini bermakna, individu yang mempunyai empati dapat mengenali dan memahami perasaan orang lain sama ada dinyatakan oleh orang itu ataupun tidak. Integrasi antara komunikasi verbal dan non-verbal dengan persekitaran dan situasi adalah kaedah yang paling sesuai digunakan bagi menerbitkan empati dalam diri murid tersebut.
2.2.4 Aktiviti 4
Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral Tahun 2 yang bertajuk ‘Kemesraan Keluarga Mengukuhkan Perpaduan’ yang boleh dikaitkan dengan pembelajaran Theory of Constrain (TOC).
Sesi pengajaran selama 30 minit dan objektif yang hendak dicapai ialah murid dapat mengamalkan perpaduan dalam keluarga. Dari segi pengetahuan sedia ada, murid menyedari akan kepentingan perpaduan dalam keluarga.
Mula-mula guru menunjukkan kad ucapan hari lahir kepada anggota keluarga kepada murid-murid. Melalui sesi soal jawab guru mengemukakan beberapa soalan seperti:
• Pernahkah kamu memberi kad ucapan kepada anggota keluarga?
• Apakah perasaan kamu dapat memberi kad ucapan tersebut?
• Pernahkah kamu menerima kad ucapan daripada anggota keluarga?
• Apakah perasaan kamu apabila menerima kad ucapan daripada anggota keluarga?
Melalui sesi perbincangan tersebut fakta yang diperolehi adalah sama ada positif ataupun negatif. Melalui aktiviti perbincangan kumpulan, mereka diminta mengenalpasti usaha untuk mengukuhkan perpaduan keluarga. Melalui kaedah TOC murid diminta berbincang berkaitan:
• Apa yang perlu diubah?
• Kepada apa hendak dubah?
• Bagaimana untuk menjalankan perubahan tersebut?
Dalam sesi pelaporan guru haruslah membimbing penyataan murid agar mereka dapat menggerakkan kemahiran bersosial dalam diri terutamanya dalam mengukuhkan perpaduan dalam keluarga masing-masing. Melalui pendapat murid tersebut secara tidak langsung akan menimbulan kesedaran kendiri, mengendali emosi, empati, pemantauan diri, dan penentuan matlamat akademik dan diri adalah elemen yang menjadi penggerak dalam membangun dan membina kemahiran bersosial dalam diri individu. Dalam aktiviti persekolahan pula murid akan menjalinkan semangat perpaduan, cintakan negara dan memupuk semangat dan nilai toleransi di kalangan rakan-rakan dan warga sekolah.


3.1 Penutup

Kesimpulannya, para guru perlulah mempunyai kemahiran untuk mengeksploitasi kelebihan-kelebihan yang terdapat pada setiap dimensi kecerdasan emosi pelajar. Oleh sebab kecerdasan emosi merupakan satu sifat yang boleh dipupuk dan dikembangkan, guru perlu ada pengetahuan tentang kecerdasan emosi agar dapat membantu meningkatkan kecerdasan emosi pelajarnya.institusi pendidikan telah memainkan peranan dalam mencorakkan kualiti moral dan akhlak yang mulia seperti yang dituntut oleh masyarakat. Melalui sistem pendidikan, para pelajar akan melalui proses sosialisasi moral dan proses pembesaran yang diorientasikan dan diperkukuhkan dengan pelbagai tanggungjawab sosial. Pembangunan serta perubahan sosial dalam masyarakat memerlukan perubahan dalam sistem pendidikan di sekolah bagi memenuhi keperluan pelajar sesuai dengan keadaan sekeliling. Kita perlu memikirkan kembali sejauh manakah keberkesanan sistem pendidikan kita pada hari ini memandangkan isu gejala sosial remaja yang makin hari makin menular. Faktor kecerdasan emosi dilihat sebagai faktor yang mempengaruhi pembelajaran seseorang pelajar. Justeru itu, ia akan membawa implikasi terhadap pencapaian akademik mereka yang cemerlang.


RUJUKAN

A.J. Micheal (2006).Kompetensi Kecerdasan Emosi.Kumpulan Budiman Sdn Bhd, Kuala Lumpur

Mohd. Azhar Abd. Hamid (2006).Panduan Meningkat Kecerdasan Emosi.PTS Professional Publishing Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor

Mok Soon Sang (1996). Pendidikan Di Malaysia.Kumpulan Budiman Sdn Bhd, Kuala Lumpur

Abdul Rahman Md. Aroff & Chang Lee Hoon (1994).Pendidikan Moral.Longman Malaysia Sdn. Bhd, Petaling Jaya

Marimuthu. T (1990). Pengenalan Sosialogi Pendidikan. Fajar Bakti Sdn Bhd, Petaling Jaya

Abdul Fatah Hasan, Haji ( 1998). Pemikiran keseluruhan otak [dalam penguusan pendidikan dan kaitannya dengan kecerdasan emosi (emotional intelligence – EQ)]. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur

Abd Rahim Abd Rashid (1999). Kemahiran berfikir merentasi kurikulum.
Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, Shah Alam

http://members.tripod.com/~sarjana/remaja1.html

http://pendidikanmoral.um.edu.my/index.php?page=60