3/25/2010

SEJARAH PERKEMBANGAN NEGARA

BAHAGIAN A : PENGERTIAN SEJARAH DAN SUMBER SEJARAH

1.1 Pendahuluan
Perkataan sejarah (history) yang kita gunakan pada masa kini berpunca daripada perkataan Arab iaitu Syajaratun yang bermaksud pohon. Abdul Rahim Abdul Rashid (1989) menyatakan bahawa perkataan sejarah berasal daripada perkataan Greek yang membawa maksud mengkaji, menyiasat dan melakukan penyelidikan terhadap peristiwa silam. Mengikut pandangan "Bapa Sejarah" Herodotus, sejarah ialah satu kajian untuk menceritakan satu kitaran jatuh bangunnya seseorang tokoh, masyarakat dan peradaban. Mengikut definisi yang diberikan oleh Aristotle, bahawa sejarah merupakan satu sistem yang mengira kejadian semulajadi dan tersusun dalam bentuk kronologi. Pada masa yang sama, menurut beliau juga Sejarah adalah peristiwa-peristiwa masa lalu yang mempunyai catatan, rekod-rekod atau bukti-bukti yang kukuh.
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka telah memberikan definisi sejarah sebagai asal-usul, keturunan, salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat, tambo, tawarikh dan kajian atau pengetahuan mengenai peristiwa yang telah berlaku. Sejarah dalam erti kata lain digunakan untuk mengetahui masa lampau berdasarkan fakta-fakta dan bukti-bukti yang sahih bagi membolehkan manusia memperkayakan pengetahuan supaya waktu sekarang dan akan datang menjadi lebih cerah.
Dengan itu, akan timbul sikap waspada (awareness) dalam diri semua kelompok masyarakat kerana melalui pembelajaran sejarah di mana ia dapat membentuk sikap tersebut terhadap permasalahan yang dihadapi agar peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa lampau dapat dijadikan pengajaran yang berguna. Pengertian Sejarah boleh dilihat dari tiga dimensi iaitu epistimologi (kata akar), metodologi (kaedah sesuatu sejarah itu dipaparkan) dan filsafat atau pemikiran peristiwa lalu yang dianalisa secara teliti untuk menentukan sama ada ia benar atau tidak.

1.2 Pengertian sejarah mengikut aliran epistimologi
Aliran epistimologi atau pengetahuan menjadi asas kepada pertumbuhan ilmu sejarah pada zaman lampau. Sejarah merupakan rekod atau rakaman yang melibatkan pentafsiran tentang kemanusiaan. Oleh itu pembicaraan sejarah semestinya menyentuh tentang aspek kehidupan individu dan masyarakat yang meliputi politik, ekonomi dan sosial. Terdapat dua jenis pengertian sejarah yang berbeza mengikut aliran epistimologi iaitu aliran objektif dan aliran subjektif.

1.2.1 Aliran Objektif
Pengertian sejarah menurut aliran ojektif adalah daripada melihat wujudnya objek atau nilai di luar diri manusia secara terpisah dan bebas. Dengan penekanan ini, sesuatu ilmu yang benar-benar tulen dan saintifik seharusnya membuat pemisahan antara kedua-duanya, bukannya mencampur adukkan sehingga tidak jelas hakikat dan identiti masing-masing. Ia juga berpendapat bahawa sejarah ialah kisah-kisah yang berlaku pada masa lampau yang tidak bergantung kepada kita untuk mewujudkannya. Apa yang sudah berlaku pada masa lampau tetap berlaku secara bebas dan terpisah daripada sejarahwan.

1.2.2 Aliran Subjektif
Pendapat aliran objektif berbeza dengan aliran subjektif di mana berpendirian bahawa tidak ada sesuatu di luar diri manusia, cuma ia memikirkannya tentang sesuatu perkara. Seperti mana menurut Shakespeare; manusialah yang memberi nilai baik atau buruk terhadap sesuatu, bukannya nilai asli yang terdapat pada sesuatu benda itu.

Dengan ini sejarah ialah kajian atau penyelidikan tentang kisah-kisah yang berlaku pada masa lampau. Seperti mana pendapat tokoh idealis aliran subjektif, Benedetto Croce (1868 – 1952); semua sejarah ialah sejarah masa kini kerana diwujudkan oleh para sejarahwan yang menurut tafsiran mereka sendiri.

Jadi berbeza daripada aliran objektif yang bersifat saintifik, maka aliran sejarah subjektif ini dikatakan bercorak sastera. Oleh itu sejarah bukannya paya yang sudah berlaku, tetapi apa yang ditulis oleh sejarahwan. Dengan itu, sejarah sebagai realiti objektif memerlukan pemikiran subjektif sejarahwan yang bertanggungjawab, sebelum ia dapat dimanfaatkan oleh manusia. Sejarahwan tanpa fakta sejarah adalah tidak berasas, dan fakta sejarah tanpa sejarahwan akan menjadi tidak bermakna.

1.3 Jenis-jenis sumber dalam penyelidikan sejarah
1.3.1 Pengertian Sumber
Sumber ialah sesuatu yang boleh menjadi punca, dokumen atau rekod. Secara am, sumber diertikan sebagai kumpulan bahan rujukan bagi kegunaan penyelidikan. Menurut Oxford English Dictionary, sumber bermaksud sebuah karya dan lain-lain yang menyediakan maklumat atau bukti (khususnya bersifat tulen dan asli) berkaitan dengan fakta, kejadian atau peristiwa tersebut. Kamus Dewan mengatakan sumber bererti keterangan (bukti) yang bertulis atau bercetak, surat yang boleh dijadikan keterangan atau bukti seperti surat beranak, nikah dan lain-lain. Muhd. Yusof Ibrahim 1997, sumber ialah sesuatu yang boleh menjadi punca kepada sesuatu lahiran pemikiran ataupun penulisan, tetapi sumber berbeza dengan ilham kerana ia tidaklah abstrak mahupun spontan, dan ia boleh kita rujuk kembali apabila kita memerlukannya semula.
Pada lazimnya sumber-sumber sejarah diertikan sebagai bahan yanag bertulis atau bercetak. Pada peringkat awal, sumber ialah sekumpulan bahan-bahan yang tersimpan di tempat yang khusus seperti arkib, perpustakaan, muzium, pejabat menyimpan rekod, istana ataupun di rumah-rumah orang perseorangan. Sejarahwan yang ingin melakukan penyelidikan haruslah mengesan serta mengenal pasti akan sumber-sumber yang diperlukan.
1.3.2 Kepentingan sumber
1. Kepentingan sumber adalah suatu kepentingan yang asasi. Ini kerana sumber ,bagi penulisan sejarah , berbeza dengan penulisan karya kreatif, adalah sesuatu yang mesti wujud.
2. Tanpa sumber sejarahwan tidak dapat menghasilkan pensejarahannya.
3. Sejarahwan haruslah mencari serta mengumpulkan dan memastikan sumbernya. Kepada sumberlah ia berharap akan dapat bergantung untuk untuk menghasilkan pennulisannya.
4. Sejarahwan juga bergantung kepada sumber untuk mendapatkan faktanya, iaitu salah satu daripada unsur yang akan memperkukuhkan kebenaran penulisannya.

1.3.3 Jenis-jenis sumber
Tedapat empat jenis sumber yang penting iaitu:
• Sumber utama/ Primer
• Sumber kedua/ Sekunder
• Sumber Lisan
• Sumber Arkeologi
a) Sumber Utama/ Primer
Kumpulan sumber mahupun bahan yang boleh kita rujuk, tetapi keadaannya masih asli dan belum lagi ditafsirkan serta terdapat di institusi-institusi tertentu. Contohnya, bahan yang berupa dokumen, surat, sama ada yang rasmi ataupun sebaliknya, catatan, laporan, buku harian, warkah, watiqah dan titah perintah dan kadangkala akhbar serta majalah dan peringatan boleh juga dianggap sebagai sumber utama. Contoh dokumen-dokumen ialah:

• Sejarah tanah air kita, berkaitan dengan penjajahan British, kumpulan dokumen yang berkaitan terdapat di Pejabat Tanah Jajahan di London.
• Surat perjanjian- surat perjanjian Pangkor yang ditandatangani di Pulau Pangkor di antara Raja Abdullah denga Andrew Clark.
• Kesultanan Melayu Melaka - catatan dan laporan oleh orang Cina, Arab, Portugis dan juga Belanda.
• Buku Salatus Salatin (ditulis pada kurun ke-19 tetapi tidak diketahui siapa yang mengarangnya adalah merupakan sejarah Melayu; dan diperbaharui dan diperbaiki oleh Tun Seri Lanang pada tahun 1612)
• Naskah yang berjudul Hukum Kanun Melaka (44 fasal), Undang- undang Laut Melaka (25 fasal)

b) Sumber Kedua/Sekunder
Merujuk kepada perkataan asal (catual word) di mana individu yang terlibat atau telah menyaksikan sesuatu peristiwa, atau seseorang yang menerima maklumat dari mereka yang terlibat dalam peristiwa tersebut. Kajian-kajian ataupun penulisan-penulisan yang telah dilaksanakan oleh seseorang mahupun sesuatu kumpulan, tentang sesuatu peristiwa, tokoh-tokoh dan sebagainya. Kajian ini berdasarkan sumber utama. Ia haruslah melalui suatu tatacara atau kaedah penyelidikan yang teratur supaya hasilnya akan merupakan suatu hasil yang boleh diterima kebenarannya.
Menurut Raja Ali Haji, sejarahwan yang terulung pada kurun ke-19, “supaya terpakai”. (Tuhfat al-Nafis, 1965: halaman 379), sumber kedua ini merupakan tafsiran, penyeluruhan, kesimpulan dan malahan andaian yang dibuat oleh seseorang pengkaji terhadap perkara-perkara yang dikajinya dengan bersandarkan sumber utama yang berkaitan. Ia digunakan oleh penyelidik sebagai rujukan, perbandingan, ungkapan bagi mengukuhkan pandangan serta serta tafsirannya terhadap perkara yang dikajinya.
Contoh-contoh lain sumber kedua ialah buku-buku, majalah dan juga akhbar, latihan ilmiah, tesis, karangan ataupun esei yang menganalisis sesuatu isu yang penting. Antaranya:
i. Penulisan Sarjana Barat
1. R.J. Wilkinson- A History of the Penisular Malaya.
2. R.O Winstedt- A History of Malaya dan History of Classical Malay
Literature.
3. J.M Gullick- Indigenous Political System of Western Malaya (1965).

ii. Penulisan Tempatan
1. Buyong Adil- Sejarah Melaka Dalam Zaman Kerajaan Melayu.
2. Abdul Samad Ahmad- Salalatus Salatin (1979).
3. Muhammad Yusoff Hashim- Kesultanan Melayu Melaka (1989).

Selain itu ia boleh merujuk kepada penulisan dan laporan orang Portugis serta Belanda. Contohnya:
1. Armando Corteseao
2. De Eredia
3. De Barros
Penulisan Sarjana menjadi sumber yang penting menggambarkan tentang seseorang pengkaji itu terhadap perkara dan juga terhadap alam persekitaran masa lalu yang dikajinya. Begitu juga sumber tempatan yang dihasilkan bukan sahaja untuk sejarah Melaka, tetapi bagi tahap-tahap lain di dalam sejarah tanah air.
c) Sumber Lisan
Didapati daripada pertuturan atau perkhabaran seseorang tentang sesuatu peristiwa yang berlaku. Ia tidak ditulis atau dirakam melainkan tersimpan dalam ingatan tokoh yang terlibat atau penyaksi. Melalui temubual, perbincangan dan sebagainya barulah sumber ini dirakam dan ditulis.
Sumber lisan dikategorikan kepada sumber utama dan kedua:
i) Sumber utama iaitu orang yang terlibat,penyaksi dalam sesuatu peristiwa sejarah itu, mereka boleh memberikan maklumat asal tentang peristiwa yang mereka saksikan. Jika mereka merakamkannya dalam pita suara ia dikira sebagai sumber utama. Jika menulis ia menjadi sumber utama yang bertulis dan tidak lisan lagi.
ii) Sumber kedua pula ialah maklumat daripada mereka yang tidak menyaksikan atau terlibat dalam sesuatu peristiwa yang diterangkan.

Antara kategori sumber lisan ialah:
• Keterangan Proto
• Keterangan lisan yang dituturkan oleh pelaku yang telah terlibat dalam sesuatu peristiwa yang dikaji
• Keterangan tersebut merujuk kepada peranan dan pengalaman peribadi atau penglibatan secara langsung dalam peristiwa berkenaan. Contohnya keterangan hidup di zaman pemerintahan Jepun.
• Keterangan saksi mata.
• Keterangan yang diceritakan oleh seseorang yang melihat peristiwa yang telah berlaku.
• Ataupun sekadar menyaksikan di depan mata dan tidak terlibat secara langsung.
• Keterangan kata dengar .
• Keterangan yang diceritakan oleh seseorang yang diketahui melalui sumber orang lain
• Mengetahui perkara tersebut semata-mata apa yang didengarnya sahaja
Terdapat anggapan yang menyangsikan kewibawaan sumber-sumber lisan:
• Seolah-olah dan boleh merupakan suatu putar-belit .
• Gambaran sewenang-wenang atau refleksi imaginatif para penyaksi atau pelaku.
• Oleh itu faktor keakhlakan penyaksi itu penting. Kejujuran, keimanan, dan keikhlasan tidak akan memutar belitkan fakta.
• Tetapi penyaksi-penyaksi lain yang terlibat dan maklumat yang telah dirakam membolehkan dibuat perbandingan
d) Sumber Arkeologi
Mengkaji kehidupan manusia pada zaman lampau melalui tinggalan artifak , contohnya meneliti tinggalan seumpama monumen, candi, kuil, masjid, istana, tembikar, prasasti dan lain-lain.

Antara bidang kajian arkeologi ialah :
• Epigrafi - Mengkaji tinggalan Prasasti,Inkripsi
• Filologi - Mengkaji bidang naskah atau tulisan kuno
• Numistik - Mengkaji tinggalan mata wang
• Sosiologi - Mengkaji sejarah masyarakat
• Ikonografi - Mengkaji seni pahatan
• Struktur - Mengkaji bangunan
• Petempatan - Mengkaji pola tempat tinggal
• Antropologi - mengkaji kebudayaan
Bidang ini yang paling banyak membantu membantu penyelidikan sejarah. Ia banyak membantu pembinaan struktur pengajian sejarah iaitu peranannya memperpanjangkan lagi jarak sejarah yang lebih tua iaitu yang diistilahkan zaman prasejarah. Di samping itu, testimoni sejarah yang lebih dipercayai daripada bukti-bukti lisan bersifat objektif dan bercakap menerusi keadaan yang sebenar sepanjang zaman.

1.4 Kesimpulan
Mengkaji bidang sejarah memerlukan sejarahwan membuat rumusan dan kesimpulan yang mendalam di mana memerlukan daya pemikiran yang tinggi dengan melakukan semua itu memerlukan berbagai-bagai idea, daya ingatan dan menyusun segala isi kandungan utama bahan sejarah. Manakala sumber sangat penting dalam kajian atau penyelidikan sejarah. Seorang sejarahwan dalam usaha menghasilkan sesuatu karya sejarah mestilah berusaha mendapatkan sumbernya kemudian memilih memilih sumber tersebut, bukan memilih mana-mana yang sesuai untuk digunakan tetapi mana-mana yang ada kaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan peristiwa yang dikajinya. Sejarahwan harus mengkaji serta menganalisis sumber-sumber itu, mendapatkan fakta dan seterusnya untuk membolehkan melakukan penulisan serta membuat tafsiran terhadap peristiwa berkenaan.




BAHAGIAN B : ANALISIS DARURAT 1948 DAN DARURAT 1969

2.1 Latar belakang
Dalam sejarah Negara Malaysia, pemerintah telah mengisytiharkan dua peristiwa darurat iaitu darurat 1948 dan darurat 1969. Darurat 1948 ialah melibatkan pergerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyebarkan ideologi komunis ke Tanah Melayu seawal tahun 1920-an dan hanya mencapai kemuncak pada tahun 1948 dengan meletusnya pemberontakan bersenjata. Sejak itu, komunis menjadi anasir terbesar yang mengancam keselamatan negara. Ini menyebabkan pihak kerajaan British terpaksa mengambil tindakan mengisytiharkan Darurat di Tanah Melayu pada tahun 1948. Gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) di bawah pimpinan Chin Peng yang menggantikan Lai Teck telah menukar dasar kepada perjuangan radikal dan revolusioner. Senario ini jelas apabila Kerajaan British mengumumkan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Januari 1948 menggantikan Malayan Union 1946. PKM bertindak melancarkan tentangan terhadap kerajaan British kerana menggagalkan rancangan PKM untuk memerintah Tanah Melayu selepas bersama-sama menentang pendudukan Jepun .
Pada zaman darurat, hampir setiap hari manusia terkorban , lebih-lebih lagi orang awam yang tidak berdosa. Harta benda yang tidak ternilai dimusnahkan . Setiap bulan kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk menamatkan bilangan nyawa, mengakhiri pertempuran dan kemusnahan atau kerosakan akibat tindakan komunis. PKM bertindak dengan memusnahkan punca ekonomi seperti lombong bijih timah, lading getah, alat perhubungan, dan infrakstruktur. Menubuhkan wilayah-wilayah bebas yang akan diletakkan di bawah pengawasan dan penguasaan PKM. Menubuhkan Tentera Pembebasan yang akan melancarkan revolusi dan menyatukan semua wilayah bebas.
Walaupun Darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960 dan menunjukkan kemenangan kepada Kerajaan Tanah Melayu, namun perjuangan bersenjata komunis masih belum berakhir. Pemimpin mereka , Chen Ping dan sebahagian anggota komunis masih bersembunyi di sempadan Tanah Melayu – Thailand untuk menunggu peluang bagi kemungkinan bertindak semula . Oleh itu, mereka masih menjadi ancaman kepada keselamatan Negara. Ini dapat dilihat melalui kebangkitan komunis kali kedua atau Darurat II (1968-1978). Kerja-kerja subversif dilakukan oleh pertubuhan bawah tanah seperti Liga Pembebasan Nasional Malaya (Malaya National Liberation Leagua / MNLL)
Kegiatan subversif ini mendatangkan banyak masalah dan kemusnahan . Pegawai polis dan tentera adalah sasaran utama mereka . Timbalan Penguasa Polis ,Wong Lim Hoon dibunuh di Kuala Lumpur pada 18 Januari 1973. Pada pagi 4 Jun 1974, Ketua Polis Negara , Tan Sri Abdul Rahman Hashim ditembak mati di Kuala Lumpur.

2.2 Faktor/Punca
Terdapat banyak faktor berlakunya Darurat 1948 yang mendorong PKM melancarkan pemberontakan bersenjata pada tahun tersebut. Salah satu faktor ialah kegagalan polisi perdamaian Barisan Bersatu di mana PKM telah gagal mencapai cita-citanya melalui cara-cara perlembagaan atau perdamaian di antara tahun 1945 – 1948). Dalam tempoh tersebut, PKM melalui kesatuan-kesatuan sekerja yang dikuasainya telah melancarkan pemogokan bagi melemahkan dan menjatuhkan kerajaan British di Tanah Melayu.
Menjelang tahun 1947, pengaruh PKM ke atas gerakan buruh telah merosot dan oleh yang demikian, PKM terpaksa menggunakan cara kekerasan untuk menjatuhkan kerajaan British di Tanah Melayu. Seterusnya, perubahan pucuk pimpinan dan krisis dalam PKM turut mengakibatkan pemberontakan komunis. Setiausaha PKM Lai Teck yang didapati menjadi ejen Jepun dan British telah menghilangkan diri dengan wang parti pada bulan Mac 1947 menyebabkan ahli-ahli PKM tergoncang keyakinan mereka.
Untuk memulihkan semangat perjuangan komunis, pemimpin baru iaitu Chin Peng berpendapat perlunya dasar yang lebih aktif untuk menggerakkan PKM ke hadapan supaya kerajaan British dapat dijatuhkan dan kerajaan komunis ditubuhkan. Selain itu, PKM juga dipengaruhi oleh pihak luar seperti Kongres Pemuda Komunis Asia di Culcutta pada bulan Februari 1948 yang mengarahkan parti-parti komunis melancarkan pemberontakan bersenjata demi mencapai matlamat masing-masing. Kemudiannya, PKM juga telah digesa oleh Parti Komunis China untuk memulakan revolusi di Tanah Melayu. Seterusnya, kejayaan-kejayaan pihak komunis di negara China, Greece, dan Indo-China telah memberi inspirasi kepada PKM untuk melancarkan pemberontakan di Tanah Melayu yang pada pendapat mereka akan berjaya.
Manakala peristiwa Darurat 1969 pula adalah rentetan dari rusuhan kaum yang pertama selepas merdeka dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei. Antara punca-punca terjadinya peristiwa 13 Mei ialah :
• Pemimpin-pemimpin parti politik dalam ucapan kempen pilihanraya tahun1969 sering memainkan sentiment perkauman terutama di antara kaum Cina dengan kaum bumiputera.
• Pemimpin-pemimpin pembangkang mengapi-apikan sentimen perkauman dengan pelbagai propaganda khususnya peristiwa pertempuran kaum semasa Perang Jepun dan Bintang Tiga.
• Pemimpin–pemimpin pembangkang khasnya kaum Cina sering memprovokasi kesabaran orang melayu dengan mengutarakan tuntutan di luar perlembagaan khasnya mengenai taraf kewarganegaraan dan status bumiputera.
• Isu dan sentiment perkauman yang dicetuskan itu menyemarakkan semangat perkauman yang meluapkan prasangkayang tinggi hingga mencetuskan pergaduhan.
Kemuncak ketegangan kaum meletus apabila pemimpin dan penyokong pembangkang terdiri daripada kaum Cina merayakan kemenangan Pilihanraya Umum yang diadakan pada 10 Mei 1969 . Kumpulan pembangkang itu berarak di Bandar Kuala Lumpur dengan membawa pelbagai slogan anti-Melayu dan anti-kerajaan. Sepanduk dan kain rentang yang diarak di sekeliling bandar besar terutama di Kuala Lumpur. Tindakan parti pembangkang tersebut telah mencabar kesabaran orang Melayu menyebabkan mereka bertindak balas. Mereka mengadakan perarakan besar-besaran sebagai mencabar dan melawan tindakan parti pembangkang kaum Cina . Pelbagai insiden berlaku yang akhirnya menyebabkan tercetusnya pergaduhan antara orang-orang Cina dan orang-orang Melayu yang dikenali sebagai 13 Mei 1969. Tragedi ini merupakan suatu titik hitam dalam lembaran sejarah Negara. Tragedi ini juga menyebabkan rakyat yang tidak berdosa terkorban, rumah dan kedai dibakar, harta benda dimusnahkan dan pelbagai bencana lain. Keadana yang tidak terkawal ini menyebabkan kerajaan mengisytiharkan darurat dan perintah berkurung dikuatkuasakan di negeri-negeri yang terlibat terutama di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu. Parlimen dibubarkan dan kerajaan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MEGERAN) yang bertindak sebagai badan pemerintah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak.
Mengikut laporan Maljis Gerakan Negara tentang peristiwa sedih itu, ‘Ketidakpercayaan antara orang Melayu dan orang Cina adalah seperti duri dalam daging dalam sejarah negara sekarang’. Semenjak Kerajaan Perikatan dipilih dan berkuasa 15 tahun yang lalu memang telah ada rusuhan-rusuhan terpencil antara Cina dan Melayu seperti yang berlaku di Pulau Pangkor pada Mei 1959, Bukit Mertajam pada Julai 1964, September 1964 di Singapura, awal Januari 1965 di Kuala Lumpur dan di Pulau Pinang pada April 1969. Bagimanapun tiada rusuhan yang dahsyat sekali yang pernah berlaku sebagaimana yang telah meletus pada 13 Mei 1969 dalam sejarah Malaysia moden.
Hakikatnya huru-hara yang berlaku telah menggoncangkan Kuala Lumpur yang berpunca daripada keputusan Pilihanraya Umum Persekutuan di peringkat negeri dan persekutuan. Sesungguhnya , peristiwa 13 Mei telah membuka mata pemimpin negara terhadap punca berlakunya tragedi tersebut. Setelah dikaji dan diteliti jelaslah bahawa masih berlaku jurang dan polarisasi yang luas antara kaum. Bagaimanapun, sebab yang utamanya adalah lebih besar lagi daripada itu. Perhatian mestilah ditumpukan dari segi perbezaan yang telah lama wujud dalam bidang sosial, politik dan ekonomi di kalangan orang-orang Cina dan Melayu .

2.3 Impak darurat dan langkah/strategi menangani

2.3.1 Bidang Politik
Darurat 1948 memperlihatkan perkembangan Komunisme di Tanah Melayu yang berkembang sejajar dengan kedatangan orang-orang Cina ke Tanah Melayu melalui agen-agen Komunis Antarabangsa (Communist International - Comintern) yang dihantar ke Tanah Melayu bagi menyusun strategi PKM .Perkembangan yang ketara di mana pihak British dan masyarakat tempatan menerima perjuangan PKM terutama orang-orang cina apabila Jepun menyerang Tanah Melayu pada Disember 1941. PKM dan MPAJA bersama – sama tentera British berjuang menentang tentera Jepun sehinggalah Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945.
British bersetuju untuk melatih rekrut komunis yang akan berjuang menentang Jepun dengan menghantar pemuda-pemuda cina sebagai pelatih di 101 special Training School (101 STS) di Singapura. Kumpulan inilah yang membentuk suatu kuasa perjuangan yang dikenali sebagai Pasukan Tentera Rakyat Malaya Anti-Jepun (MPAJA) atau lebih dikenali sebagai Bintang Tiga pada Mac 1942. Tujuan utama penubuhan MPAJA adalah untuk meneruskan perjuangan menentang Jepun bagi menubuhkan Republik Komunis Malaya. Dengan ini dapatlah dikatakan bahawa MPAJA ditubuhkan adalah dengan bantuan dan sokongan British disamping mendapat sokongan lain daripada Malayan People’s Anti-Japanese Union (MPAJU) yang terdiri dari masyarakat Melayu.
Peristiwa darurat 1948 juga memperlihatkan munculnya MCA (Malayan Chinese Association) dan MIC hasil daripada kewujudan Jawatankuasa Hubungan Kaum (Communities Liaison Committee/CLC). Penubuhan MCA adalah satu strategi politik baru bagi melibatkan orang cina dalam usaha membenteras komunis dan secara tidak langsung mengurangkan ketegangan antara kaum di Tanah Melayu. Keadaan ini dapat dilihat melalui memorandum berkenaan ‘Problems Created By The Communitist Successes In China’ yang antara lain mencatatkan bahawa dalam usaha kerajaan mendapat sokongan orang Cina, penubuhan MCA adalah amat digalakkan .
Tidak dinafikan penubuhan MCA berjaya memperbaiki hubungan antara orang Cina dengan kaum lain dan pihak kerajaan di Tanah Melayu. Akhirnya , sokongan dan keyakinan orang cina membolehkan MCA muncul sebagai parti politik mewakili orang cina di Tanah Melayu apabila turut bertanding dalam pilihanraya Majlis bandaran KUALA Lumpur bersama-sama UMNO.
Kenapa berlakunya Peristiwa 13 Mei? Tunku Abdul Rahman telah menyalahkan pihak komunis dan anasir-anasir kongsi gelap Cina sebagai alasan tetapi Tun Dr. Ismail (Menteri Dalam Negeri) sebaliknya dan beliau berkata, ‘Demokrasi telah mati di negara ini. Ia telah mati di tangan parti-parti pembangkang yang mendorong meletusnya keganasan ini’. Ini jelas apa yang telah diperkatakan bahawa kekacauan yang berlaku adalah disebabkan oleh keputusan pilihanraya umum di peringkat Negeri dan Persekutuan .
Rentetan daripada peristiwa ini, MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) telah ditubuhkan. Kemenangan Gerakan di Kuala Lumpur dan ancaman DAP telah meniupkan lagi api persengketaan amntara kaum Melayu dan Cina di Tanah Melayu. MCA memperlihatkan pecahan dua pihak antara golongan muda dan anggota lama . Golongan muda MCA beranggapan bahawa dasar yang disokongi oleh Kerajaan Perikatan adalah ‘Malaysia adalah untuk orang Melayu’.
Jemaah Menteri Darurat telah ditubuhkan oleh Tunku Abdul Rahman pada 20 Mei 1969 dan sehari kemudian telah memasukkan tiga orang kaum Cina menganggotai kabinet sebagai menteri tanpa jabatan. Berdasarkan kepada punca peristiwa iaitu tiada keseimbangan ekonomi antara kaum menyebabkan satu resolusi dibuat iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian mestilah dari kalangan orang Melayu.
Peristiwa ini juga membawa kepada tunjuk perasaan yang dimainkan oleh golongan muda (pelajar universiti) di kalangan orang UMNO yang dikaitkan dengan golongan pelampau. Nama –nama yang dikaitkan dari golongan muda ini ialah Dr. Mahathir Mohamed dan Musa Hitam, seorang menteri muda yang akhirnya mereka ini telah dipecat dari UMNO.
Daripada ucapan Tunku Abdul Rahman, beliau sememangnya berfikiran jauh dan menyelamatkan keadaan dari terus kacau bilau antara kaum tambahan pula dibelakangnya wujud kuasa tentera dan polis bagi menstabilkan keadaan ketika itu.Beberapa langkah telah diambil. Antaranya dalam bulan Julai 1969 telah mewujudkan Majlis-Majlis Muhibah Kebangsaan di semua peringkat. Dalam bulan Januari 1970, Majlis Perunding Negara menggantikan Parlimen ditubuhkan .Fungsinya adalah untuk membincangkan dan menentukan ‘penyelesaaian yang kekal terhadap masalah perkauman kita untuk menentukan bahawa tragedi 13 Mei tidak akan berulang lagi.

2.3.2 Bidang Ekonomi
Akibat daripada peristiwa tersebut kegiaqtan ekonomi musnah dan lumpuh yang mana perintah berkurung terpaksa dibuat bagi membendung kekecohan dan huru-hara .Darurat 1948 memperlihatkan ekonomi getah dan perlombongan bijih timah menurun kerana penduduk-penduduk takut untuk ke ladang dan lombong-lombong dimusnahkan oleh komunis. Antara Julai hingga Disember 1951, nilai kerosakkan di estet meningkat kepada RM8,100,000.00 berbanding dengan RM6,300,000.00dalam tempoh 6 bulan. Angka ini menunjukkan komunis memberi tumpuan kepada kegiatan merosakkan ekonomi Negara. Kegiatan memusnahkan lombong dan estet adalah untuk memberikan tekanan kepada pihak British di Tanah Melayu. Komunis sedar bahawa pengaruh mereka hanya dapat ditegakkan sekiranya Negara dalam keadaan kucar-kacir dan penduduk sengsara kerana penggangguran.
Kerajaan terpaksa memperuntukkan dana yang besar bagi mewujudkan kampung-kampung baru dalam usaha mengekang pengaruh komunis. Penghantaran makanan, pakaian, dan ubat-ubatan di kampung baru ini telah mengakibatkan rancangan pembangunan Negara terabai dan tidak dapat dilaksanakan.
Jelas dan nyata bahawa faktor ekonomi yang memainkan peranan utama dalam tercetusnya peristiwa hitam pada 13 Mei 1969. Dikatakan ketidakseimbang dan pemilikan kuasa ekonomi yang lebih kepada orang cina menyebabkan kaum lain tidak berpuashati terutamanya kaum Melayu. Keadaan ini menggesa Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Kedua menyusun semula gerakan ekonomi Negara dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memberi peluang kepada kaum lain khasnya bumiputra terlibat sama dalam bidang ekonomi khususnya perniagaan dan perdagangan.Rentetan daripada itu dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) disusun semula bagi mengimbangi kedudukan ekonomi antara kaum adalah dengan membangunkan kawasan luar bandar yang mana mojoritinya di kalangan masyarakat Melayu. Pertubuhan separuh kerajaan seperti FELDA, RIDA dan MARA dilihat gagal membawa perubahan kepada kaum melayu dalam menyeimbangi ekonomi negara dengan kaum Cina.Melalui butir-butir yang terperinci dan statistik telah disediakan dalam Mengkaji Semula Pertengahan Penggal Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975 maka terbitlah DEB yang bertujuan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru yang mempunyai serampang dua mata untuk mencapai kemajuan. Pelbagai strategi disusun dalam menjayakan DEB. Antaranya dasar menghapuskan kemiskinan khususnya dikalangan masyarakat melayu dalam mengerakan kaum ini terlibat dalam kegiatan ekonomi dari tradisional hinggalah ke ekonomi moden.
Namun begitu, pada tahun 1970 bilangan bumiputera dalam sektor perdagangan masih lagi mengecewakan. Tambahan pula sebuah Lembaga Penasihat Kerjasama Ekonomi Melayu Cina yang ditubuhkan selepas rusuhan untuk menggalakkan perkongsian perniagaan tidak mendatangkan apa-apa manfaat. Konsep ‘Teman Tidur’ dalam perkongsian perniagaan atau ‘Ali Baba’ dilihat menjejaskan peranan asal ke arah melahirkan banyak bumiputra terlibat dalam bidang ekonomi.
Sebenarnya keadaan ini amat mudah difahami kerana terlalu sedikit orang-orang Melayu yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang perniagaan dan mereka secara tradisinya lebih selesa dan bangga berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan walaupun bekerja sebagai kerani atau budak pejabat sahaja.

2.3.3 Bidang Sosial
Hubungan kaum di Tanah Melayu seterusnya dicorakkan oleh pemberontakan komunis dan darurat. Hal ini jelas kerana lebih 90% daripada komunis di dalam hutan adalah terdiri daripada orang Cina dan orang Melayu menjadi polis, askar dan kawalan kampung yang terpaksa berdepan dengan ancaman komunis. Keadaan ini menebalkan lagi perasaan curiga dan ketegangan kaum. Penempatan semula yang dibina juga menimbulkaan kemarahan dan rasa tidak senang hati di kalangan orang Melayu. Penempatan baru dibina dengan kelengkapan asas yang cukup manakala kampong-kampung orang Melayu dibiarkan dalam keadaan daif tanpa kemudahan yang cukup.
Kerenggangan hubungan kaum semakin meningkat apabila orang melayusedar atas pemberian hak milik tanah kepada setinggan cina yang sebenarnya belum menjadi warganegara Tanah Melayu. Dikatakan dalam keadaan terdesak, sultan terpaksa menyerahkan tanah untuk rancangan perkampungan baru kerana Peraturan 17F, Undang-undang Darurat 1948 yang mana kerajaan berhak meminjam, meminta dan mengambil sesuatu kawasan untuk tujuan Darurat tanpa sebarang bayaran pampasan dan dikuatkuasakan pada 7 Julai 1948.
Gangguan terhadap kemudahan asas banyak dilakukan oleh komunis kerana dengan kepincangannya kemudahan asas dapat mengurangkan sokongan dan keyakinan penduduk terhadap pemerintah.Kesannya banyak jalan raya dan landasan keretapi dimusnahkan. Selain itu perkhidmatan telefon dan telegraf juga disabotaj. Tindakan memusnahkan paip air menyulitkan penduduk dan terpaksa bergantung dengan air sungai, air hujan atau perigi. Akibatnya kesihatan penduduk terjejas dan banyak jangkitan penyakit berlaku. Darurat 1969 pula menyaksikan banyak kemudahan asas musnah, kedai-kedai dibakar,dan jalan-jalan raya kotor dengan sampah sarap. Rusuhan ,kebakaran dan kecurian terus berlaku untuk beberapa hari sebelum keadaan dapat dikawal.
Akibat daripada peristiwa tersebut ,maka pada 31 Ogos 1970, ulangtahun ketiga belas kemerdekaan tanah air, Yang di-Pertuan Agong secara rasmi telah mengisytiharkan ideologi kebangsaan yang dinamakan Rukun Negara. Intipati rukun Negara digubal adalah sebagai model asas bagi strategi dalam mewujudkan perpaduan kebangsaan. Intipati Rukun Negara digubal adalah sebagai model asas bagi strategi dalam mewujudkan perpaduan kebangsaan. Yang jelas semua parti-parti politik menyokong penuh Rukun Negara ini sebagai alat penyatuan antara kaum.
Pelajaran adalah merupakan alat untuk menyusun semula masyarakat dan ini adalah perkara utama dalam Rancangan Malaysia Pertama dan diteruskan dalam Rancangan Malaysia kedua. Mengikut Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengarahkan universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi yang lain untuk memasukkan lebih ramai lagi golongan bumiputra, walaupun kelayakan mereka lebih rendah berbanding dengan calon bukan Melayu, terutama dalam bidang perubatan,kejuruteraan dan sains.

2.4 Implikasi ke atas sejarah perkembangan negara masa kini

Sesungguhnya tragedi kedua-dua darurat ini meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada semua kaum di Malaysia. Rakyat yang tidak berdosa terkorban dan banyak berlaku kemusnahan akibat dari perasaan curiga antara kaum. Walaubagaimanapun kesan yang paling ketara ialah meningkatnya sentimen perkauman khasnya orang Cina dan orang Melayu . Semua pihak akur bahawa peristiwa tersebut sewajarnya dijadikan teladan kepada kita semua supaya mengenepikan faktor-faktor yang boleh membawa kepada masalah dan menteladani yang kepada kemajuan dan kebaikan.
Pemberontakan komunis telah menimbulkan banyak masalah kepada ketenteraman negara. Seterusnya ia menjadi alasan kukuh bagi Parti Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) untuk mendapatkan kemerdekaan lebih awal daripada British di mana pengekalan kerajaan British di Tanah Melayu hanya akan menjadi alasan bagi PKM terus melaungkan bahawa pergerakan mereka bercorak kebangsaan yang memperjuangkan nasib rakyat dan negara dari tangan penjajah. Sebaliknya dengan memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu, pihak komunis tidak mempunyai alasan untuk mempertahankan dasar anti penjajahannya dan akan dikutuk sebagai parti anti-kebangsaan sekiranya masih meneruskan perjuangan secara keganasan.
Darurat 1948 juga menjadi satu faktor penting kerajaan menggubal dasar peljaran nasionl. Ini kerana kerajaan merasakan murid-murid perlu dipupuk sejak dari peringkat rendah lagi dengan perasaan cinta dan taat setia kepada tanah air. Dasar pelajaran telah digubal berasaskan Penyata Razak, 1956 di mana menetapkan kandungan sukatan pelajaran bagi semua jenis sekolah di Tanah Melayu hendaklah berteraskan hal ehwal tempatan. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah diharapkan dapat memupuk persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum.
Manakala peristiwa 13 Mei 1969 menyedarkan semua pihak bahawa perselisihan akan menyebabkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda merugikan perniagaan dan menyekat lain-lain aktiviti harian penduduk sahaja. Sebaliknya ia hanya akan menguntungkan musuh-musuh negara dan memberikan kesempatan kepada mereka untuk memecahbelahkan rakyat dan merosakkan negara dan melambatkankan proses pembangunan negara. Rukunegara atau idealogi nasional memupuk pegangan rakyat berbilang kaum di negara ini berlandaskan kehidupan mengikut acuan kita sendiri yang akan menimbulkan persefahaman dan perpaduan. Nilai-nilai dalam Rukunegara dianggap akan mengatasi identiti sesuatu kaum. Setiap rakyat mestilah hormat-menghormati, saling faham-memahami dan mengetahui adab resam keturunan lain.
Kerajaan juga telah menubuhkan satu badan iaitu Jabatan Perpaduan Negara yang memainkan peranan aktiviti-aktiviti bagi mengeratkan lagi perpaduan termasuk mengadakan kelas bahasa Malaysia di seluruh negara. Dengan adanya lembaga seperti ini kan menambahkan lagi tempat untuk mengeratkan lagi persefahaman dan perpaduan serta menyelesaikan salah faham dan juga masalah-masalah perkauman yang lain. Bahasa Kebangsaan (Bahasa Malaysia) juga telah menjadi alat dalam proses memupuk perpaduan antara kaum. Kerajaan telah menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Akta Bahasa Kebangsan 1967 telah memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dilancarkan pada tahun 1970 bertujuan membetulkan ketidakseimbangan ekonomi yang wujud di antara kaum dan wilayah yang sama bagi mencapai perpaduan negara. Di samping itu, pengabungan parti-parti politik melalui Barisan Nasional dan Integrasi antara Wilayah juga telah memainkan peranan yang penting dalam menentuan halatuju pembangunan dan perpaduan kaum di negara ini sehingga masa kini.



BAHAGIAN C : SOAL SELIDIK TAHAP PENGETAHUAN PELAJAR

3.1 Analisis soal selidik
Kajian soal selidik ini telah dijalankan kepada 30 pelajar sekolah menengah atas SMK Seri Mahkota, Jasin dengan bilangan item sebanyak 20 penyataan merangkumi aspek 2 darurat iaitu Darurat 1948 dan Darurat 1969 (Peristiwa 13 Mei). Masa yang diperuntukkan ialah selama 15 minit untuk menjawab semua pernyataan.

Item Darurat 1948 bagi soalan 1 memperlihatkan sebanyak 10% tahu apa yang dikatakan Darurat 1948 dan 90% mengetahui dengan lebih mendalam Darurat 1948.. Soalan 2 pula sebanyak 86.6% pelajar sangat tidak bersetuju bahawa komunis banyak membawa kebaikan , 6.6% tidak bersetuju manakala 6.6% pula tidak pasti. Soalan 3 memperlihatkan 90% pelajar sangat setuju bahawa komunis banyak menyusahkan penduduk tanah Melayu, 6.6% pula hanya setuju dan 3.3% tidak pasti. Soalan 4 pula sebanyak 33.3% sangat bersetuju bahawa masyarakat melayu yang menyertai gerakan komunis adalah mereka yang tidak cintakan tanah air,20% tidak pasti manakala 6.6% sebaliknya.Item 5 pula semua responden tidak suka Negara Malaysia ini mengamalkan fahaman komunis.

Soalan 6 dalam item darurat 1948 memperlihatkan 93.3 bersetuju bahawa mereka yang didapati terlibat dengan Gerakan komunis perlu di hokum bunuh kerana mengkhianati Negara dan bangsa.Soalan 7 pula didapati semua pelajar mengakui bahawa mereka ada belajar dalam sessi pembelajaran dan pengajaran di sekolah tentang peristiwa darurat 1948.Soalan 8 mempunyai pelbagai pendapat dan fikiran iaitu sebanyak 66.6% pelajar bersetuju bahawa Negara Malaysia ini telah bebas sepenuhnya dari ancaman komunis manakala 13.3% tidak pasti dan selebihnya berpendapat masih ada lagi ancaman komunis di Negara kita ini.Soalan 9 pula didapati 76.6% pelajar bersetuju banyak kesan yang tersirat dan perubahan yang wujud akibat dari ancaman komunis dan 13.3% ttidak pasti manakala 10% tiada kesan baik langsung hasil dari pemberontakan komunis. Soalan terakhir dari item darurat 1948 memperlihatkan semua pelajar bersedia dan akan mempertahankan Negara Malaysia ini jika diancam oleh pihak komunis.

Item Darurat 1969 pula memperlihatkan 100% pelajar tahu apa yang berlaku pada Darurat 1969 . Ini termasuklah soalan 2 bahawa semua pelajar tidak suka akan peristiwa 13 Mei. Soalan 3 pula memperlihatkan 93.3% pelajar suka dengan keadaan masyarakat majmuk yang ada di Negara kita ini.dan 6.6% tidak pasti. Soalan 4 pula sebanyak 86.6% pelajar bersetuju atas tindakan Tunku Abdul rahman merancang , menangani dan melaksanakan dasar bagi mengawal dan mengekang peristiwa 13 terus berlaku.manakala13.3 tidak pasti. Soalan 5 pula sebanyak 86.6% pelajar bersetuju sepatutnya semua kaum tidak perlu berasa curiga mencurigai antara sesame kaum manakala 13.3 adalah tidak pasti.

Soalan 6 pula memperlihatkan semua responden tidak mahu peristiwa 13 Mei berulang lagi di Negara ini. Soalan 7 pelbagai andaian wujud atas factor sebenar suasana Negara iaitu sebanyak 46.6% setuju bahawa dalam keadaan Negara masa ini tidak akan wujud peristiwa 13 Mei manakala 33.3% tidak pasti dan 19.9% berpendapat mungkin akan wujud peristiwa 13 Mei. Soalan 8 pula semua responden bersetuju bahawa banyak keburukan yang wujud kesan dari peristiwa 13 Mei. Soalan 9 , sebanyak 66.6% berpendapat perlu agihan ekonomi ,politik dan social yang sama dengan semua kaum dapat menghindarkan peristiwa 13 Mei berulang. 6.6% tidak perlu agihan ketiga-tiga bidang dalam mengekang peristiwa tersebut. Soalan 10 semua responden bersetuju bahawa mereka semua amat berbangga menjadi warganegara Malaysia.


4.1 Penutup
Kesimpulannya berdasarkan fakta-fakta di atas, jelaslah bahawa sejarah ialah pentafsiran atau satu rekod catatan fakta manusia dan masyarakat lalu, mengenai masa lampau atau perkara yang telah berlaku berdasarkan kepada sumber-sumber yang tertentu. Kajian sejarah bertujuan membina kefahaman terhadap tindakan-tindakan manusia bukan sahaja pada masa lalu tetapi yang pentingnya ialah untuk rujukan masa sekarang. Dalam konteks pendidikan, pengajaran sejarah umumnya bertujuan untuk membantu pelajar memahami keadaan masa kini berdasarkan keadaan masa lampau. Dengan memahami masa lalu, kita dapat memahami kejayaan dan kegagalan yang telah dilakukan dan seterusnya membolehkan kita merancang masa depan. Sehubungan dengan itu, pengisytiharan Darurat 1948 dan Darurat 1969 memberi kesan terhadap sejarah perkembangan negara masa kini di mana tugas utama kerajaan bagi negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat ini ialah memelihara dan menjamin keselamatan rakyat serta melaksanakan usaha dan dasar-dasar untuk mewujudkan dan mengekalkan perpaduan antara kaum yang menjadi asas kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.
Sebagai rakyat Malaysia yang mendiami negara ini, kita seharusnya sedar akan kepentingan memelihara perpaduan demi keselamatan dan kemajuan negara yang berterusan dan seterusnya meningkatkan lagi taraf kehidupan kepada semua pihak tanpa mengira warna kulit, budaya, bangsa, dan agama. Segala program pembangunan yang dirancang hanya akan dapat dilaksana sekiranya adanya sikap toleransi dan saling faham-memahami antara penduduk pelbagai kaum serta kesedaran yang tinggi dalam diri setiap rakyat. Justeru itu, semua pihak haruslah mempunyai komitmen yang jitu dari segi pemuliharaan perpaduan yang berterusan dan bersikap cintakan negara yang aman dan damai ini. Sejarah negara pada masa lalu boleh dijadikan teras dalam segala aspek kehidupan masyarakat masa kini khususnya bagi merealisasikan sesuatu keputusan.




BIBLIOGRAFI

Ho Hui Ling (2004).Darurat 1948-1960 – Keadaan sosial di Tanah Melayu.Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Abdul Rahman Haji Abdullah (2000).Wacana Falsafah Sejarah – Perpektif Barat dan Timur.Utusan Pablications & Distrubutors Sdn Bhd, Kuala Lumpur

Puteri Fahsyar (2004).Malaysia – Satu Lembaran Sejarah.Pustaka Buana, Kuala Lumpur

Ruhanie Haji Ahmad (2005).Patriotisme Malaysia.Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur

Hazri Jamil (2003).Teknik Mengajar Sejarah.PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur

Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan (1992).Sejarah dalam Pendidikan.Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Omardin Hj. Ashaari, Yunus Muhamad (1996).Kaedah Pengajaran Sejarah.Utusan Pablications & Distrubutors Sdn Bhd, Kuala Lumpur

http://www.geocities.com/kavyan_kavya/rukun.htm
http://mus_1981.tripod.com/definisi_sejarah.htm
http:// members.tripod.com/nabirx/101d4.htm

b7