3/25/2010

PERBEZAAN DI ANTARA RITUAL IJAB KABUL DALAM UPACARA PERKAHWINAN AGAMA ISLAM BAGI KAUM MELAYU DENGAN AGAMA HINDU BAGI KAUM INDIA DI MALAYSIA

1.1 Pendahuluan
Adat secara umumnya boleh didefinisikan sebagai suatu perlakuan yang mulanya diamalkan kerana suatu kebiasaan sahaja, tetapi pada kemudiannya diamalkan oleh setiap individu dalam masyarakat itu setelah masyarakat memikirkan bahawa ia patut dilakukan oleh setiap individu (Abdullah Siddik, 1975). Adat ialah peraturan yang diamalkan turun-temurun dalam sesebuah masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Dengan itu, amalan yang telah menjadi kebiasaan itulah yang dikatakan adat dan individu yang menyeleweng daripada amalan kebiasaan tadi dikatakan melanggar adat atau tidak beradat.

Perkahwinan merupakan bidang ibadat yang diredai oleh Allah S.W.T., iaitu menghalalkan hubungan antara lelaki dan perempuan. Begitu juga bagi kepercayaan agama-agama yang lain yang menetapkan perkahwinan sebagi satu ikatan yang suci bagi pasangan suami isteri. Melalui perkahwinan dapat melahirkan sifat kasih sayang dan bertanggungjawab. Selain memenuhi nafsu syahwat, kedua-dua suami isteri dapat memupuk kasih sayang dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Seterusnya, pasangan suami isteri sanggup memikul tanggungjawab dan berjuang untuk kepentingan keluarga dan masyarakat. Sifat-sifat ini kemudiannya akan dipupuk kepada anak-anak mereka. Dengan ini lahirlah sebuah masyarakat yang maju, harmoni dan bermoral.

1.2 Definisi Perkahwinan dan Kekeluargaan
Perkahwinan bukanlah suatu konsep yang mudah didefinisikan. Perlaksanaannya amat meluas di kalangan orang kebanyakan dan ahli-ahli sains sosial, tetapi maknanya sering bergantung kepada konteks budaya.


Sabda Rasulullah S.A.W.,
Maksudnya: Daripada Anas r.a, katanya telah bersabda nabi S.A.W bahawa perkahwinan adalah sunnahku, sesiapa yang benci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku.
Allah S.W.T. menjadikan manusia dengan fitrahnya yang ingin hidup berpasang-pasangan, berkasih-sayang, bahagia, dan dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal. Fitrah tersebut dapat dilaksanakan melalui ikatan perkahwinan yang sah.
Ferraro (2006) mendefinisikan perkahwinan ialah ‘Marriage can be defined as a series of customs formalising the relationship between male and female adults within the family’. Maksudnya, perkahwinan boleh ditakrifkan sebagai ‘rentetan upacara adat yang memberikan pengiktirafan rasmi kepada hubungan antara lelaki dan perempuan dewasa dalam sesebuah keluarga’. Definisi lain menyatakan bahawa ‘perkahwinan adalah satu perlakuan budaya untuk mewujudkan famili, iaitu yang melibatkan penyusunan semula pelaku-pelaku sosial dari segi peranan masing-masing’.
Ini bermakna perkahwinan menyatukan lelaki dan wanita dewasa, membenarkan mereka mengadakan hubungan seks sebagai suami isteri, dan mengatur hak-hak ekonomi di antara mereka. Perkahwinan melibatkan satu bentuk kontrak atau perjanjian di antara kedua-dua belah pihak dan dijalin dengan harapan bahawa hubungan itu berkekalan.

Manusia berkahwin dengan tujuan untuk membina keluarga. Ferraro (2006) mendefinisikan keluarga sebagai 'A family is a social unit characterised by economic cooperation, the management of reproduction and child-rearing, and common residence’. Maksudnya, keluarga merupakan satu unit sosial yang diasaskan kepada kerjasama ekonomi, yang juga berperanan melahirkan zuriat, menjaga dan mengasuh anak-anak dan berkongsi tempat tinggal.

A New Dictionary of Sociology pula mentakrifkan perkahwinan sebagai ‘satu hubungan yang direstui oleh masyarakat antara dua orang yang berlainan jantina yang dijangka akan berkekalan sehingga selepas tempoh penghamilan bayi dan selepas bayi itu dilahirkan’.

Bagi A. R. Radcliffe-Brown, “Perkahwinan adalah satu bentuk hubungan sosial yang khusus yang memberikan pengiktirafan sosial atau taraf keibubapaan kepada anak yang dilahirkan hasil daripada hubungan tersebut”.

1.3 Fungsi-Fungsi Perkahwinan
Pembentukan keluarga melalui perkahwinan memenuhi pelbagai fungsi untuk masyarakat. Fungsi-fungsi perkahwinan adalah seperti berikut:
 Mengatur hubungan seksual di antara suami dan isteri.
 Membahagikan tugas di antara suami dan isteri (division of labour).
 Memastikan terbelanya kebajikan anak-anak.

1.3.1 Hubungan Seksual
Perkahwinan mengatur hubungan seksual yang stabil di antara suami dan isteri untuk tujuan prokreasi (pembiakan). Hubungan seksual biasanya akan mengakibatkan kehamilan, dan jika kehendak manusia ini tidak dikawal, ia boleh membawa kepada kerosakan.

1.3.2 Pembahagian Tugas
Perkahwinan juga menyediakan mekanisme sosial yang mengatur pembahagian tugas mengikut jantina (division of labour). Untuk sebab-sebab yang tertentu (secara budaya dan biologikal), lelaki memikul tugas-tugas tertentu manakala wanita menyandang peranan yang berbeza. Untuk memaksimakan kelangsungan masyarakat, lelaki dan wanita harus bekerjasama dengan menawarkan “perkhidmatan” antara satu sama lain. Perkahwinan memudahkan pertukaran berlaku antara lelaki dan wanita.

Secara tradisional, lelaki diharapkan memikul beban sebagai ketua keluarga dan mencari nafkah. Wanita pula memegang peranan sebagai suri rumah yang menguruskan rumah dan menjaga anak-anak yang masih kecil. Lelaki memberikan perlindungan dan jaminan keselamatan fizikal, ekonomi dan saraan hidup kepada golongan domestik yang terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua yang tidak berdaya.
1.3.3 Kebajikan dan Perlindungan Anak-Anak
Perkahwinan juga memastikan bahawa kebajikan anak-anak tidak terabai. Sebagai ibu bapa, kita seharusnya bertanggungjawab dan menyediakan keperluan-keperluan seperti pendidikan dan kasih sayang kepada anak-anak.

Kita tidak boleh berkelakuan seperti haiwan dalam membesarkan anak-anak. Tahun-tahun pertama seorang anak akan menentukan sama ada dia membesar menjadi “orang” atau menjadi “hantu” kelak. Proses pembudayaan bermula di rumah di mana kanak-kanak banyak bergantung kepada ibu bapa untuk tunjuk ajar sosial. Di sinilah kita lihat pentingnya peranan ibu bapa dalam memastikan suasana keluarga sentiasa positif untuk menjayakan keluarga bahagia. ‘Anak-anak ibarat kain putih’ terpulang kepada ibu bapa bagaimana mereka hendak melakar akhlak pada anak-anak mereka.


2.1 Latar belakang masyarakat di Malaysia
Masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban, Kadazan, Bajau, Melanau dan lain-lain penuh warna-warni dalam mengamalkan adat resam yang diterima oleh mereka sejak zaman-berzaman. Salah satunya adalah melalui adat dan budaya bagi upacara perkahwinan yang mempunyai fungsi yang penting dalam memberi penyatuan suci bagi meneruskan kesinambungan pertalian ikatan perhubungan sosial masyarakat tersebut.

Sebagai umum yang diketahui, satu-satu adat itu, kecil atau besar, adalah kuat pengaruhnya dalam masyarakat sesuatu kaum itu. Pada banyak masa dan tempatnya, adat itu dianggap sebagai undang-undang kecil oleh masyarakat itu sendiri.

Di Malaysia, kaum Melayu biasanya adalah masyarakat yang beragama Islam yang berpegang kepada ajaran kitab suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah serta mengamalkan adat dan budaya setempat, misalnya amalan Adat Pepatih masih diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan Adat Naning di sebahagian tempat di Melaka. Manakala di negeri-negeri yang lain di Semenanjung Malaysia mengamalkan Adat Temenggong dalam amalan kehidupan masyarakatnya. Namun, kebanyakan masyarakat Melayu pada zaman sekarang kurang menuruti adat yang warisi tersebut sebaliknya lebih mementingkan aspek agama yang wajib sahaja dalam menjalani amalan dan kehidupan seharian berdasarkan arus semasa.

Manakala kaum India yang mengamalkan agama Hindu adalah kepercayaan yang diwarisi sejak turun temurun. Agama Hindu merupakan agama yang tertua di dunia dan ia berasal dari benua kecil India. Majoriti penduduk India di Malaysia masih menganuti agama Hindu sehingga sekarang. Namun, ada sebilangan penganut Hindu yang mencampur aduk antara tradisi agama/kepercayaan, iaitu agama rakyat dan agama teks dalam kehidupan mereka.

Tidak dinafikan berkemungkinan adanya unsur-unsur kepercayaan agama Hindu dalam masyarakat Melayu sebelum kehadiran agama Islam yang tetap diteruskan amalannya seperti adat bersamding dalam majlis perkahwinan. Adat ini adalah berasal daripada tradisi agama Hindu sudah pun diubah suai menurut nilai-nilai agama Islam di Malaysia. Bagi mengubah tradisi Hinduisme, agama Islam telah memperkenalkan adat istiadat Islam bagi mengambil alih adat dan tradisi lama yang telah mempengaruhi masyarakat Melayu.

2.2 Sejarah Kaum Melayu
Malaysia merupakan sebuah negara yang majoriti penduduknya orang Melayu. Menurut Syed Husin Ali (1979), orang Melayu dari segi lahiriahnya, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah-lembut dan berbudi bahasa. Tetapi dari segi definisi undang-undang, definisi Melayu hanya meliputi penduduk Malaysia seperti yang ditakrif oleh perlembagaan.

Menurut Perlembagaan Malaysia: Fasal 160, erti Melayu adalah seperti yang berikut:
“…seseorang yang menganuti agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat-istadat Melayu dan;
(a) Lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau ibu bapanya lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau pada Hari Merdeka ini adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura atau;
(b) Ia adalah keturunan seseorang yang tersebut”.
Menurut Aris Osman (1983), orang Melayu berdasarkan sosiologi merangkumi etnik-etnik yang tinggal di luar perbatasan Malaysia seperti etnik Minangkabau, Jawa, Bugis, Banjar, Mandaling dan lain-lain.
Masyarakat Melayu menganggap perkahwinan merupakan adat yang amat dititik beratkan. Majlis perkahwinan adalah peristiwa yang amat penting bukan sahaja kepada bakal pengantin tetapi juga kepada ibu bapa dan ahli keluarga serta sahabat handai. Adat yang berkaitan dengan perkahwinan termasuk merisik, meminang, bertunang, penghantaran belanja, majlis bersanding dan sebagainya.
Pada masa silam, bersanding merupakan satu aspek perjalanan hidup yang dijalankan oleh ibu bapa. Merekalah yang memilih teman hidup bagi anak masing-masing. Biasanya apabila ibu bapa merasai anak lelaki sudah sampai masa untuk berkahwin, mereka mula merisik anak gadis yang sesuai. Pada umumnya, ibu bapa meminta saudara-mara mencari calon yang sesuai bagi anak mereka.
2.3 Sejarah Kaum India
Orang India merupakan salah satu kaum yang telah menyumbang ke arah pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia. Mereka telah menjadi sebahagian besar daripada rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan keturunan.

Rata-rata orang India bertubuh sederhana, berkulit gelap dan berhidung mancung. Kebanyakan orang India beragama Hindu dan segelintir sahaja yang beragama Kristian, Buddha atau Islam.

Orang India yang beragama Hindu menganggap perkahwinan adalah sebagai satu kewajipan agama. Ikatan perkahwinan antara lelaki dan perempuan juga dipandang sebagai satu perjanjian suci. Orang Hindu amat menggalakkan perkahwinan antara sepupu. Selain itu, gadis-gadis Hindu dibenarkan berkahwin dengan bapa saudara (adik ibu) mereka sendiri.

Berbanding mas kahwin dalam masyarakat Melayu yang beragama Islam, dowry merupakan perpindahan barangan atau duit daripada keluarga isteri kepada pihak keluarga suami yang diamakan dalam masyarakat Hindu. Dowry sentiasa dibekalkan oleh pihak isteri, tetapi penerima dowry berbeza daripada budaya ke budaya.

Dowry sering dikaitkan dengan masyarakat India pada persepsi umum. Kadangkala amalan ini boleh disalahgunakan, dan ini telah membawa kepada fenomena dowry death di mana isteri dibunuh atau membunuh diri akibat gangguan atau deraan daripada pihak suami kerana keluarga si isteri gagal membayar dowry yang lebih tinggi. Justeru, dalam amalan dowri, bukan wang dan barang sahaja yang boleh hilang kerana berkahwin, nyawanya pun boleh hilang.

3.1 Ritual Upacara Ijab Kabul (Secara Umum)
Kaum Melayu yang beragama Islam dan kaum India beragama Hindu mempunyai adat dan cara-cara yang berbeza dalam menjalankan ritual upacara ijab kabul bagi pasangan pengantin di mana berteraskan amalan mengikut agama dan kepercayaan masing-masing. Justeru, pelbagai aspek yang berbeza jelas dapat dilihat dalam perlaksanaan proses upacara ijab kabul tersebut berdasarkan adat dan budaya mengikut kaum walaupun tinggal dalam sebuah masyarakat yang sama.

Perbezaan tradisi ini telah diguna pakai semenjak zaman-berzaman walaupun telah diturunkan kepada beberapa generasi. Namun arus pembangunan kehidupan moden jelas telah mempengaruhi beberapa aspek perlaksanaanya, misalnya pasangan diwajibkan mengambil kursus perkahwinan, pemeriksaan kesihatan, mendaftar perkahwinan di Pejabat Pendaftaran Negara dan lain-lain.

Ada juga sebahagian adat dan budaya masyarakat setempat mengikut kaum tersebut sudah tidak diamalkan lagi pada zaman moden ini. Misalnya pada zaman sekarang, ramai orang Melayu yang mengamalkan Adat Pepatih atau Adat Naning dalam budaya masyarakatnya sudah mula tidak menurutinya disebabkan adat dan istiadat yang terlalu berat untuk dipatuhi dan memerlukan banyak peraturan yang perlu dipatuhi dalam melangsungkan perkahwinan. Selain itu, nikah gantung iaitu pernikahan yang dilakukan tanpa disusuli dengan majlis perkahwinan dan biasanya majlis ini dihadiri oleh saudara-mara, jiran-jiran dan rakan-karib sahaja juga telah diamalkan oleh orang Melayu.

Bagi orang India pula, segelntir daripada mereka telah menolak amalan adapt dan budaya dalam masyarakatnya. Contohnya, kini ada segelintir daripada mereka hanya mengesahkan perkahwinan mereka dengan kedua-dua pasangan kekasih melakukan pendaftaran perkahwinan mereka di Pejabat Pendaftaran Negara. Selepas itu mereka hanya mengadakan jamuan ringkas bersama saudara-mara atau rakan-rakan sebagai tanda kesyukuran selepas terjalin satu ikatan.

3.1.1 Ritual Ijab Kabul Agama Islam (Kaum Melayu)
Akad nikah merupakan satu acara paling penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan suatu adat tetapi lebih kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan.
Akad nikah merupakan majlis atau upacara yang amat penting dan dinantikan oleh kedua-dua belah pihak yang menjalankan majlis perkahwinan. Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam bagi majlis perkahwinan kerana ia adalah budaya atau cara hidup. Jika tidak dilakukan, akan berasa janggal dan mungkin dikata orang sekeliling. Jika meriah majlisnya, makinlah rasa bangganya mempelai dan juga ibubapa yang pasangan yang berkahwin itu. Setidak-tidaknya upacara yang dikehendaki dalam hukum Islam seperti akad nikah harus diadakan bagi membolehkan perkahwinan itu diiktiraf sebagai sah. Niat untuk berkahwin itu haruslah betul.
Masa yang ditetapkan untuk mengadakan majlis akad nikah ini bergantung pada persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua pihak pengantin dan juga bergantung pada adat yang diamalkan oleh masyarakat setempat. Walau bagaimanapun, ada dua pilihan masa yang ditentukan untuk mengadakan majlis ini, iaitu pada waktu malam sebelum upacara berinai besar dijalankan atau pada waktu pagi (11.00 pagi) pada hari langsung.

Para jemputan termasuk Tuan Imam atau Tuan Kadi, ketua kampung (Sidang) dan orang-orang tua mengambil tempat di serambi menanti ketibaan pengantin lelaki dan rombongannya. Jika pengantin lelaki dijadualkan sampai pada pukul 9.00 malam, Tuan Imam akan hadir lebih awal, iaitu selepas mengerjakan sembahyang Maghrib.

Hantaran dilakukan semasa bertunang dan/atau pada masa akad nikah. Pada hakikatnya, hantaran tidak diwajibkan di dalam Islam. Hantaran daripada pihak perempuan biasanya lebih daripada pihak lelaki dengan dua dulang. Jadi sekiranya pihak lelaki menghantar 7 dulang, pihak perempuan akan membalas sebanyak 9 dulang. Jumlah hantaran adalah selalu ganjil. Selalunya hantaran dijadikan pengukur tentang status dan "budget" perkahwinan pasangan yang berkahwin.

Mengikut adat resam masyarakat Melayu, menghantar belanja biasanya dijalankan terlebih dahulu dan berasingan dengan upacara akad nikah, tetapi pada zaman sekarang, menghantar belanja selalu dijalankan bersama dengan akad nikah dengan tujuan menjimatkan masa dan perbelanjaan. Di antara barang-barang yang termasuk dalam kategori wajib bagi melengkapkan sesuatu hantaran adalah seperti berikut, dan hantaran tersebut akan turut sama diarak dengan pasangan pengantin sebelum bersanding.
 Wang mas kahwin dan belanja (ada yang menyerahkan wang mas kahwin tersebut terus ke tangan isteri selepas selesai upacara akad nikah) yang diletakkan di dalam dulang atau batil bertudung diperbuat daripada perak atau tembaga putih.
 Sebentuk cincin permata berbatu intan atau ber1ian yang diletakkan di dalam cembul atau kotak perak.
 2 pasang kain dan sehelai baju dari jenis yang cukup baik dan berkualiti, dilipat di dalam talam perak atau tembaga putih bertudung.
 Beberapa jenis kuih juadah, yang setiap satunya diletak di dalam sebuah pinggan besar bertudung dan dihias beralaskan talam.
 Beberapa jenis buah-buahan yang segar disusun di dalam bekas atau talam ditudung.
 Tepak sirih atau puan perak atau tembaga putih yang diisi lengkap.
 Satu atau dua perecik atau perenjis air mawar dan dua kaki dian atau lilin.
Semua barang tersebut akan dibawa setiap satunya oleh seorang pemuda dan diarak daripada rumah mempelai itu ke rumah pengantin perempuan bersama-sama dengan pengantin yang sudah siap berpakaian lengkap Melayu asli atau pakaian haji iaitu berserban dan berjubah bagi memulakan upacara Majlis Akad Nikah. Mempelai dan rombongannya akan disambut oleh pihak pengantin perempuan dan mereka akan terus dibawa naik ke rumah. Semua barang hantaran akan diatur, biasanya di hadapan pelamin. Pelamin ialah suatu ruang yang telah disiapkan biasanya seminggu sebelum majlis perkahwinan berlangsung dan ia merupakan tempat di mana kedua-dua pengantin akan bersanding di hadapan semua tetamu.
Sidang (ketua kampung) membereskan upacara penerimaan hantaran belanja (sama ada penuh atau separuh) dan hadiah-hadiah iringan daripada pengantin lelaki. Pada masa yang ditetapkan, pengantin lelaki tiba biasanya dengan diiringi oleh pengapit dan rombongan yang membawa hadiah-hadiah dan hantaran (jika belum dijelaskan). Pakaian yang dipakai oleh pengantin lelaki ialah pakaian Melayu serba putih dan bersongkok hitam. Dia dan rombongannya terlebih dahulu berdalaman dengan para jemputan yang menunggu di serambi sebelum duduk. Setelah mengesahkan hantaran belanja dan hadiah-hadiah, Sidang menyerahkan tangunggjawab untuk melaksanakan majlis kepada Tuan Imam. Upacara nikah akan dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan lain sepertimana yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Akad nikah juga boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin perempuan dan dijalankan oleh kadi atau imam.
Di dalam upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada Tuan Imam atau Tuan Kadi.
Kebiasaannya majlis akad nikah akan dijalankan di rumah pengantin perempuan sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Pada hari tersebut, pengantin lelaki akan mengenakan baju melayu berwarna cerah dan majlis diadakan menyerupai majlis pertunangan. Lazimnya sementara menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki, majlis berzanji atau pukulan kompang diadakan.
Sebelum upacara dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan lain-lain hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi dan dua orang saksi bagi pihak perempuan. Seterusnya pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar di tengah-tengah majlis. Tuan Imam atau Tuan Kadi akan menemui pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan sama ada dia bersetuju atau tidak dengan pernikahan itu.

Akad nikah sedang dijalankan
Berikut adalah perincian upacara ijab kabul yang dilaksanakan oleh orang Melayu:
 Tuan Imam terlebih dahulu perlu melengkapkan sijil nikah dan berjumpa pengantin perempuan untuk meminta persetujuannya dinikahkan dengan lelaki pilihan keluarganya (dengan disaksikan oleh bapa pengantin perempuan).
 Kemudian Tuan Imam akan memastikan butir-butir pengenalan pengantin lelaki adalah betul dan layak untuk dinikahkan.
 Antara butir-butir yang diisi dalam sijil nikah ialah pengenalan pengantin lelaki dan pengantin perempuan, bayaran mas kahwin (jumlahnya), wali dan saksi-saksi.
 Selain itu, dipastikan juga mas kahwin yang akan dibayar oleh pengantin lelaki sama ada hutang aau tunai.
 Selepas semua perkara tersebut dibereskan, pengantin lelaki dipersilakan duduk bersila di atas tikar khas/bantal mengadap Tuan Imam yang dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri untuk menikahkan kedua-dua mempelai.
 Seterusnya, bapa pengantin perempuan menyerahkan tugas melaksanakan upacara akad nikah kepada Tuan Imam. Kadang-kadang bapa pengantin perempuan menikahkan sendiri pengantin lelaki dengan anaknya.
 Tuan Iman juga akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum akan tanggung jawab suami isteri dan lain-lain hal berkaitan rumahtangga dari sudut agama.
 Selepas itu, Tuan Imam akan membacakan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin lelaki dan pengantin lelaki dikehendaki mengulangnya sebaik sahaja Tuan Imam menggoncangkan tangannya.
 Lafaz ijab nikah berbunyi "Aku nikahkan dikau...(nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak...(mengikut negeri) tunai" oleh Tuan Imam.
 Dan disambut oleh pengantin lelaki dengan lafaz kabul berbunyi "Aku terima nikahnya...(sama seperti yang dilafazkan oleh Tuan Imam). Pengantin lelaki perlu melafazkan kabul dengan jelas dan lancar.
 Saksi akan mengesahkan samada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak, sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati.
 Selepas itu, pengantin lelaki dikehendaki melafazkan taklik, iaitu pengakuan suami melepaskan (cerai) isterinya apabila dia tidak dapat memberi nafkah dengan syarat isteri mengadu kepada kadi dan pengaduannya diterima.
 Doa selamat dan selawat akan dibaca sejurus selepas itu sebagai tanda kesyukuran kerana kedua-dua mempelai telah selamat diijabkabul.
Ada sesetengahnya mengatakan bahawa majlis akad nikah patut dilakukan di dalam masjid atau surau kerana tempat ini terpelihara daripada perhiasan-perhiasan gambar atau patung yang membawa kepada unsur-unsur syirik selain daripada masjid sebagai tempat yang mulia.
Selain daripada itu memudahkan lelaki untuk melakukan solat sunat nikah dan sujud syukur setelah diakad nikah dan mengelakkan percampuran bukan muhrim antara lelaki dan perempuan. Berbanding sekiranya majlis ini dijalankan di rumah, percampuran lelaki dan perempuan sukar dikawal. Lebih-lebih lagi sekiranya rumah pengantin perempuan kecil dan sempit.
Pada hari yang dijadualkan itu, biasanya tetamu perempuan dan pengiring pengantin lelaki akan duduk di tempat majlis akad nikah itu dijalankan. Ini dianggap sebagai mengganggu pengantin lelaki kerana kaum wanita sepatutnya mesti berada di dalam bilik atau diasingkan dengan tirai atau sekatan supaya terlindung daripada kaum lelaki.
Amat mustahak calon isteri menyaksikan upacara pernikahan iaitu bersama-sama mendengar doa, takliq dan nasihat-nasihat imam atau kadi yang menikahkan. Manakala selepas upacara pernikahan seeloknya diiringi dengan majlis-majlis keagamaan seperti majlis khatam Al-Quran dan majlis berzanji bukannya muzik, hiburan pancaragam atau tarian.i.



Membaca Taklik Nikah
Selepas akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkan air sembahyang. Pengantin perempuan bersalam dan mencium tangan suaminya (pengantin lelaki). Seterusnya si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya yang menanti di dalam bilik yang dihias indah sambil keduanya bersalaman. Adat menyarung cincin atau memakaikan rantai dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan.

Upacara membatal air sembahyang
Selepas itu adat berinai akan dijalankan di mana kedua mempelai ditepung tawar. Peralatan yang digunakan untuk upacara ini ialah semangkuk bertih, semangkuk beras kunyit, sepiring inai, beberapa tangkai daun seribu yang diikat dan semangkuk air tepung tawar.
Wakil kedua-dua pihak akan menjalankan adat tepung tawar ini dengan cara mencalitkan sedikit inai dan air tepung tawar ke tapak tangan pengantin. Beras kunyit dan bertih tadi pula ditabur di hadapan pengantin dan juga kepada para hadirin. Bunga telur akan diberi kepada mereka yang menepung tawar. Jumlah orang yang menepung tawar lazimnya dalam bilangan ganjil. Seterusnya para jemputan menikmati jamuan.
3.2.1 Ritual Kaum Ijab Kabul Agama Hindu (Kaum India)
Dalam menjalankan majlis atau upacara perkahwinan orang India yang beragama Hindu, Thirumanan bermaksud penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan antara pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir hayat. Terdapat tiga jenis perkahwinan dalam masyarakat India iaitu Vaitikat Thairumanam, Tamil Thairumanam dan Diya Thairumanam yang mana perkahwinan ini dijalankan adalah berlandaskan aspek suku kaum.
Penetapan hari perkahwinan akan diserahkan kepada tukang tilik. Bulan Februari, Mac dan April dianggap sebagai bulan yang tidak mendatangkan tuah. Oleh itu, perkahwinan haruslah dielakkan dalam bulan-bulan tersebut. Penentuan hari perkahwinan juga bukan hanya melibatkan bulan, malahan hari dan waktu yang dipilih juga haruslah sesuai. Ini disebut kutika.
Walau bagaimanapun, orang Hindu lebih gemar melangsungkan perkahwinan mereka di kuil-kuil berbanding di rumah-rumah atau di dewan-dewan yang disewa, sama ada yang tinggal di bandar-bandar ataupun di kampung-kampung.
Seorang sami atau ”pandaram” akan dijemput khas bagi menjalankan upacara perkahwinan ini. Pandaram akan melakukan upacara dan adat yang sama bagi setiap pasangan yang dikahwinkan tanpa mengira kedudukan atau kasta, kecuali pandaram diberitahu terlebih dahulu sebarang upacara tambahan ataupun upacara yang tidak diperlukan. Persamaaan pelaksanaan upacara perkahwinan ini adalah sebagai langkah untuk mengelakkan timbulnya salah faham dan diskriminasi.
Upacara Kanggenam iaitu menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan.



Upacara Akad Nikah
Bagi kaum India, mereka mempunyai ritual yang tersendiri dalam upacara ijab kabul Kaum India yang melibatkan perkara-perkara berikut:
 Upacara perkahwinan ini dimulakan sebaik sahaja api suci dinyalakan ditengah-tengah ruang tempat upacara perkahwinan dilangsungkan.
 Kemudian, upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan perkahwinan.
 Kedua-dua pengantin akan duduk bersebelahan di atas tempat duduk yang dibuat khas dan dihias indah.
 Pandaram akan membaca ayat-ayat suci dan diikuti pasangan pengantin berkenaan. Antaranya, berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua.
 Pandaram akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin.
 Seterusnya, pengantin lelaki akan mengalungkan ‘thaali’ yang diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit pada leher pengantin perempuan hingga aras dada. Thaali yang diikat pada leher si gadis sebagai simbol perkahwinan. Walau bagaimanapun, bentuk thaali berubah-ubah. Kadang kala thaali berupa anting-anting emas atau sebentuk cincin emas, bergantung kepada persetujuan kedua-dua belah pihak.
 Bunga-bungaan ditabur ke arah pengantin semasa si lelaki mengikat thaali. Selain bunga-bungaan, beras juga boleh digunakan.
 Kedua-dua pengantin akan berjalan mengelilingi api suci tersebut sebanyak tiga atau tujuh kali, dimulai dengan si teruna diikuti si gadis. Upacara ini dilakukan sebagai tanda bahawa mereka telah pun menjadi suami isteri yang sah.
 Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin.
 Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian atasnya, menuang air susu ke dalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki ibu bapa (membasuh kaki ibu bapa), memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang.
 Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali dan berkongsi minum air susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas. Upacara ini menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi suami isteri.

Pengantin Bersanding
Beberapa faktor penting yang diambil kira sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan untuk mendapat kebahagiaan hidup, antaranya seperti masa yang baik untuk melangsungkan perkahwinan, pengertian thaali, valatu kal, pemberian manisan, hadiah, penghormatan kepada pengantin lelaki, simbol pokok pisang, jamuan perkahwinan dan meroboh khemah perkahwinan.

Membuat pusingan mengelilingi api suci

4.1 Penutup
Kesimpulannya, perkahwinan menyatukan lelaki dan wanita dewasa bagi sesuatu kaum dan agama membenarkan kehidupan berkeluarga yang sah, menjalinkan hubungan seks sebagai suami isteri dan mengatur hak-hak ekonomi di antara mereka. Sesuatu upacara adat resam sesuatu kaum itu akan terus hidup dan berkembang semarak apabila upacara itu dilakukan berulang-ulang dalam keadaan yang tertentu. Dalam keadaan seumpama inilah berlakunya proses pembelajaran bagi memahami sesuatu hukum agama dan adat resam, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Perkembangan ini akan terus maju ke hadapan melalui liku-liku masa. Kemajuannya yang berlaku secara progresif dan menjadikan sesuatu adat resam itu berubah, semakin berkembang dan bertokok-tambah. Bentuk perubahan itu terjadi menurut perubahan masa, keperluan dan keadaan. Bentuk ini juga bergantung kepada daya fikir masyarakat yang mengamalkannya sejajar dengan pegangan agama, kepercayaan, latar belakang pendidikan yang diterima, latar tempat masyarakat itu berada dan kepada sesuatu keperluan mendatang.









Rujukan


Ismail Hamid. (1991). Masyarakat dan Budaya Melayu. Kuala Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka.

Amran Kasimin. (1989). Istiadat Perkahwinan Melayu: Satu Kajian Perbandingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainal Abidin Borhan, Zainal Kling, Zorazit Selat, Mohd Ramli Raman. (1996). Adat Istiadat Melayu Melaka. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Syed Alwi Sheikh Al-Hadi. (1986). Adat Resam dan Adat Istiadat Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haji Mohtar bin h Md. Dom. (1987). Adat Pepatih dan Adat Istiadat Masyarakat Malaysia. Kuala Lumpur: Federal Publications.

Siti Rahmah Hj. Idris, Fatimah Azzahra. (1996). Orang India. Petaling Jaya: Penerbit Pelangi.

M. Rajantheran. (1997). Kepercayaan Orang India. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Prof. Madya Dr. Mohd Yusuf Ahmad, Azahar Ahmad Nizar, Sheith Faikis Abu Bakar. (2009). HBSS4303: Pengenalan Antropologi. Open Universiti Malaysia (OUM).

http://www.jais.sarawak.gov.my/IndexInfo/Nikah/Prosedure/akdNikah.pdf

http://malaysiana.pnm.my/01/01010204mel_nikah.htm
http://www.jpn.gov.my/2_3_1_perkahwinan_bukan_islam.php
http://jaim.melaka.gov.my/bm/index.htm