3/16/2010

PENGENALAN SAINS POLITIK

BAHAGIAN A: POLITIK, NEGARA DAN KERAJAAN

I) TAKRIF POLITIK

1.1 Pendahuluan
Kira-kira dua puluh lima kurun yang silam seorang pujangga Yunani bernama Aristotle pernah berkata bahawa manusia merupakan “binatang-binatang bermasyarakat”. Ini bermakna bahawa manusia memerlukan mausia lain untuk menjalani hidup, baik sebagai teman, sebagai seorang yang patut dicontohi ataupun sebagai anggota masyarakat di mana perpaduan dan kerjasama yang dicapai demi memajukan manusia itu sendiri. Apabila manusia hidup dalam satu organisasi di mana terdapat interaksi antara seseorang ahli masyarakat dengan yang lain maka wujudlah apa yang dinamakan negara. Peraturan-peraturan yang telah ditetapkan supaya manusia hidup dalam keadaan terkawal dipanggil undang-undang. Individu dan institusi yang menentukan supaya peraturan dan undang-undang ini diikuti dipanggil kerajaan. Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain. Aktiviti politik merupakan satu kegiatan yang timbul dari keinginan manusia mendapat kuasa supaya kehendaknya dapat dilaksanakan kepada orang lain dibawah kuasanya. Sains politik merupakan kajian mengenai tingkah-laku politik dan memeriksa kedapatan dan penggunaan kuasa, contohnya keupayaan untuk memaksa kehendak seseorang kepada yang lain.
1.2 Takrif
Sebenarnya, agak sukar bagi seseorang untuk menetapkan makna politik kerana bidang politik amat luas. Dilihat dari satu segi, politik sememangnya boleh merangkumi kesemua aktiviti manusia. Kalau kita takrifkan proses politik sebagai sesuatu yang melibatkan semua jenis perhubungan manusia, maka setiap ahli masyarakat adalah “politikal” kerana semua terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam perhubungan sedemikian.
Dalam Islam, politik disebut ‘siasah’, dan lebih mudah dinyatakan sebagai perkara-perkara yang berhubung dan berurusan dengan hal ehwal keduniaan. Oleh kerana politik adalah sebahagian daripada keperluan dan tuntutan hidup dalam ajaran Islam, serta berkait rapat dengan masalah ‘khilafah’ (kepimpinan) dalam urusan dan pentadbiran negara, maka amalan politik wajib tunduk di bawah ketentuan-ketentuan Tuhan iaitu syariat (peraturan agama) yang telah diturunkan.
Menurut definifi klasik, politik berasal daripada istilah Yunani, “”polis” yang bermakna “negara-bandar”. Aristotle dan Plato menyatakan “Manusia adalah makhluk sosial dan politik” manakala Ibnu Khaldun menyatakan “Manusia adalah makhluk sosial, berakal, berpolitik dan berekonomi”.
Robert A. Dahl (1975) dalam bukunya Modern Political Analysis pula telah mengemukakan satu definisi ringkas yang menyatakan bahawa politik melibatkan pengawasan, pengaruh, kuasa dan autoriti.
Jean Bodin (1530-1596) dan Montesquieu (1689-1755) umpamanya, menghubungkan politik dengan kerajaan dan undang-undang. Politik bagi mereka tertumpu kepada soal institusi-institusi pemerintahan seperti dewan perundangan, kehakiman dan pentadbiran awam. Ramai penulis hari ini juga melihat politik dalam ertikata ini.
Strum dan Schidman, umpamanya, mentafrifkan politik sebagai “kaedah di mana keputusan-keputusan dibuat tentang bagaimana dan bila kerajaan akan atau tidak akan bertindak”.
Lenin berkata politik ialah siapa yang boleh lakukan apa kepada siapa ( Who could do what to whom ). Manakala, seorang ahli sains politik, Harold Lasswell pula berkata politik adalah siapa yang dapat apa, bila dan bagaimana ( who gets what, when and how ).
Menurut Saltao pula, beliau menakrifkan “ politik tidak lebih daripada hanya satu kemahiran atau seni yang dipertajam melalui aktiviti dan pengalaman dan bukan pengembangan ilmu”.
Lain-lain takrif politik yang dikemukakan adalah seperti berikut:
• “satu kegiatan yang lahir daripada naluri manusia untuk mendapatkan kuasa”
• “satu cara untuk mengendali atau mengurus hal ehwal masyarakat, termasuklah masalah politik itu sendiri, ekonomi dan keselamatan”
• “ilmu (sains) dan seni (‘art’ atau cara) yang berhubung dengan urusan sesebuah organisasi atau negara ataupun hubungan antara sesebuah negara”
• “politik sebagai penguasaan terhadap ilmu tentang tujuan dan usaha ke arah memenuhi kewajipan memerintah” politik sebagai penguasaan terhadap ilmu tentang tujuan dan usaha ke arah memenuhi kewajipan memerintah”.
1.3 Rumusan
Sebagai rumusan, penekanan yang diberi apabila membicarakan tentang ‘politik’ menimbulkan maksud bahawa ia merangkumi faktor-faktor pengagihan kuasa, pengkajian kerajaan dan tingkah laku manusia dalam masyarakat agar pertentangan kepentingan dapat diselesaikan. Walaubagaimanapun, takrif-takrif yang dihuraikan oleh berbagai-bagai tokoh politik masih berasaskan kepada lima perkara penting iaitu negara (state), kekuasaan (power), pembuatan keputusan (decision making), kebijaksanaan (policy making) dan pembahagian (dstribution) atau peruntukan (allocation). Politik juga merupakan satu cara untuk manusia mengkordinasi tindakan seseorang untuk kebaikan bersama atau kebaikan individu. Apa yang membezakan politik dengan etika dan sosial ialah di dalam politik terdapat banyak persoalan berdebat. Kebanyakan ahli teori berpendapat untuk menjadi politik, sesuatu proses itu perlu menggunakan sedikit kekerasan kerana politik mempunyai hubungan rapat dengan konflik. Ia juga mengenai bagaimana kita menyelesaikan pertikaian moral yang cukup serius sehinggakan ia membentuk ancaman gangguan masyarakat dalam mana usaha sepenuh hati kepada proses perundingan atau diplomasi biasa cenderung mengurangkan keganasan yang biasanya dilihat sebagai matlamat utama peradapan.

II. BANDING BEZA ANTARA KONSEP NEGARA DAN KERAJAAN

2.1 Definisi
Negara adalah satu komuniti politik tersusun yang menakluki sesuatu kawasan dan mempunyai kedaulatan luaran dan dalaman yang boleh menguatkuasakan monopoli terhadap penggunaan kekerasan yang difikirkan wajar. Negara merupakan satu jentera atau agensi yang mempunyai kekuasaan tertentu bagi mengurus atau mentadbirkan hal ehwal rakyat bagi pihak rakyat itu sendiri. Ini memberi pengertian bahawa agensi atau jentera yang dimaksudkan diberi kuasa bagi mengurus segala hal ehwal masyarakat sebagai wakil kepada masyarakat iti tadi. Ini bermakna bahawa apabila negara diberi kuasa untuk memerintah ianya masih tertakluk kepada persetujuan orang yang diperintah.
Secara umumnya, kerajaan dikatakan sebagai satu rangkaian intitusi yang kompleks yang mentadbirkan negara. Kerajaan boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama. Pertama, perwakilan parti yang memerintah, iaitu parti yang menang dalam pilihanraya. Yang kedua ialah penyokong kerajaan iaitu yang terdiri daripada rakyat sendiri. Manakala yang ketiga ialah pembangkang, iaitu golongan yang menentang kerajaan terutamanya daripada parti-parti pembangkang. Kini terdapat pelbagai bentuk skema pengkelasan jenis-jenis kerajaan di dunia. Antaranya ialah (1) autokratis, republikan, dan totalitarian; (2) sistem mobilisasi, sistem teokratis, sistem birokrasi,dan sistem reconciliation; (3) moden, totalitarian, dan oligarki tradisional; (4) fused, prismatic, dan refracted; dan (5) demokratik, autorian dan totalitarian (Syed Ahmad Hussein, 1984). Walau bagaimanapun, pengelasan yang paling lazim digunakan ialah demokrasi dan autokrasi.
2.2 Banding beza
Konsep didefinisikan sebagai sesuatu pengertian mengenai pendapat yang terbentuk mengenai sesuatu sama ada berupa tanggapan, idea ataupun gagasan. Berikut adalah banding beza antara konsep negara dengan kerajaan :




Berdasarkan maklumat-maklumat di atas, konsep negara dan kerajaan jelas adalah dua entiti yang berbeza dari segi teori dan falsafah perlembagaan.




BAHAGIAN B: PENDAPAT HAROLD D. LASSWELL TENTANG ‘KUASA’ DALAM POLITIK

3.1 Pengenalan
Harold Lasswell mentakrifkan politik sebagai urusan tentang “Siapa mendapat
apa, bila dan bagaimana”. Merujuk buku Harold D.Lasswell (1978), Politik: Siapa Mendapat Apa, Bila, Bagaimana, ia banyak membincangkan soal ”kuasa” dalam politik. Justeru, pandangan beliau tentang politik bolehlah dijadikan panduan kepada seseorang pemimpin bagi memantapkan diri dalam arena politik serta panduan kepada penganalisis dalam melaksanakan kajian politik di sesebuah negara.

3.2 ‘Kuasa’ dalam Politik
Harold Lasswell telah membahagikan kepada beberapa bahagian tentang pandangan beliau tentang ‘kuasa’ dalam politik dalam penulisan beliau. Antaranya, elit, kaedah, dan hasil dijadikan pegangan dalam pandangan sesuatu ‘kuasa’ dalam politik.

3.2.1 Elit
Dalam persoalan elit atau pemerintah, ia merujuk kepada orang yang berpengaruh dalam ‘kuasa’ sesebuah negara. Menurut Lasswell, orang berpengaruh ialaah mereka yang paling banyak mendapat sesuatu yang boleh diperolehi. Antara nilai-nilai yang diingini oleh seseorang elit adalah dibahagikan kepada tiga perkara iaitu kehormatan, pendapatan dan keselamatan.

Golongan elit dikatakan mendapat faedah yang banyak dan selebihnya adalah untuk penyokong-penyokongnya atau orang-orang yang mengikut kehendaknya. Antara elit yang telah berjaya dalam karier politiknya adalah seperti pemimpin seperti Presiden Amerika, Hitler, Mussolini, Stalin, Mustafa Kamal Fasha, dan Joseph Pilsudki adalah antara watak-watak elit yang berjaya mendapat sokongan dan berpengaruh di zaman kegemilangan masing-masing sebagai pemerintah.
Nilai kehormatan, keselamatan dan pendapatan adalah gambaran umum dan bukan nilai sepenuhnya. Analisis-analisis politik bolehlah menggunakan gabungan lain dan hasil dari perbandingan golongan elit seterusnya akan berbeza-beza. Kesimpulan yang terdapat daripada analisis-analisis politik juga akan berubah apabila ciri-ciri yang berlainan daripada orang-orang yang berpengaruh dipilih untuk dititik beratkan.

Satu bentuk analisis juga menganggap pembahagian nilai-nilai itu adalah mengikut kemahiran. Antara kemahiran-kemahiran yang disebut ialah kemahiran berjuang di dalam perang. Ini dikaitkan dengan pemimpin yang berperanan aktif dalam perjuangan politik dalam bidang ketenteraan. Kemudian jawatan-jawatan awam yang berkait rapat dengan keganasan juga dikatakan menjadi hak sesebuah keluarga. Misalnya keluarga Roosevelt, di mana secara berterusan memegang kuasa memeriksa menyertai tentera laut Amerika Syarikat di perairan Eropah.

Elit juga dikaitkan dengan kemahiran yang mempunyai kombinasi kepintaran berpidato dan menguruskan organisasinya, misalnya Hitler manakala Mussolini pintar dengan berpidato, kewartawanan, kesarjanaan dan organisasi. Kemahiran dalam menguasai orang ramai memerlukan penggunaan lambang yang memerlukan penggunaan media bagi memantapkan lagi ‘kuasa’ dalam politik seseorang elit bagi mendapatkan kepercayaan orang bawahannya. Kemahiran dalam menguasai orang-ramai memerlukan penggunaan lambang yang memerlukan penggunaan media seperti berpidato, polemik melalui penulisan artikel, akhbar, ringkasan perundangan, perbincangan agama, novel yang mempunyai hasrat tertentu dan sistem falsafah.

Pembahagian nilai adalah merujuk kepada personaliti selain dari kemahiran dan kelas. Perhatian khas patut diberi kepada bentuk-bentuk personaliti yang dipengaruhi oleh keadaan persekitaran dan pendidikan awal yang diperolehi. Walaupun apapun keistimewaan bentuk persembahan politik seseorang, persamaan ciri-ciri personaliti seseorang ahli politik ialah kehendaknya yang besar untuk mendapatkan kehormatan. Apabila motif serupa ini digabungkan dengan kemahiran manipulasi dan dengan keadaan yang sesuai, ia akan menghasilkan seorang tokoh politik yang berpengaruh.
Seorang tokoh politik yang matang mencapai tujuannya dengan menggunakan kehendak-kehendak awam melalui penggunaan nama baik orang awam. Dia mengenepikan maksud persendirian dan mendahulukan kehendak awam atas nama kebaikan bersama. Kesimpulannya, pengaruh ‘kuasa’ dalam politik seseorang elit telah ditentukan dari asas persamaan nilai yang telah dipilih iaitu kehormatan, keselamatan dan pendapatan.

3.2.2 Kaedah
Menurut Harold Lasswell ‘kaedah’ dalam berpolitik dibahagikan kepada empat ‘kuasa; iaitu lambang, keganasan, barang-barang dan pengamalan dalam melaksanakan pemerintahan. Berdasarkan perkara-perkara tersebut, diyakini seseorang ‘elit’ boleh mengekalkan dan memantapkan pengaruhnya kepada golongan yang diperintah.

Lasswell mengatakan bahawa mana-mana elit harus mempertahankan dan menyatakan dirinya dengan nama lambang cita-cita bersama. Lambang-lambang tersebut merupakan ‘idealogi’ kepada pemerintah dan sebagai ‘utopia’ kepada golongan yang menentang elit. Dengan menggunakan perkataan dan isyarat isbat (ketetapan) pihak elit boleh menimbulkan darah, kerja, cukai dan sorakan daripada massa yakni kumpulan-kumpulan orang ramai yang bersatu kerana dasar-dasar atau pegangan-pegangan tertentu. Apabila keadaan politik berjalan dengan lancar, pihak massa akan memuja lambang-lambang itu tadi manakala pihak elit yang merasa dirinya benar dan tidak ketakutan, tidak akan menderita dari kesusilaannya. Idealogi yang kukuh mengekalkan kedudukan elit dengan sedikit propaganda yang dirancang oleh mereka yang mendapat keuntungan daripadanya. Lambang dan ungkapan komuniti yang disusun adalah juga sebahagian daripada pengalaman awal yang amat berharga. Apabila golongan elit menggunakan propaganda, masalah taktiknya adalah memilih lambang dan saluran yang boleh menghasilkan tujuan tindakan bersama. Oleh sebab kehendak emosi komuniti bertukar bersama dengan ragam menurut perintah dan ragam terhadap kepentingan diri sendiri, semuanya menyusahkan lagi kerja untuk mengendalikan massa. Maka lambang menjadi ‘kuasa’ dalam politik yang memberikan keyakinan ditambah pihak elit didorong oleh kepercayaan diri sendiri.

Kaedah keganasan adalah satu cara utama bagi elit menyerang dan mempertahankan diri mereka, wujud dalam banyak bentuk. Bilangan orang yang diambil berkhidmat dalam angkatan bersenjata secara tetap di dunia memberikan beberapa tanda terhadap keganasan pergerakan politik. Penggunaan keganasan yang rasional sebagai satu alat berpengaruh bergantung kepada tafsiran yang jelas tentang perbuatan keganasan dalam konteks keseluruhan yang lengkap. Ia jarang sekali sebagai satu alat kehancuran tetapi satu cara kea rah penamatan dan bukannya berakhir dengan sendirinya. Walaupun begitu, sekali cinta terhadap kekejaman, baik dalam bentuk kepuasan secara langsung atau secara kelemahan reaksi yang keterlaluan yang dibuat secara tidak langsung, kegunaan keganasan secara rasional dihalang oleh kesukaran yang serius. Sebagai langkah berjaga-jaga, pengulas keganasan klasik telah menekankan fungsi dan bahayanya yang luar biasa seperti kata-kata “Kepada mereka yang telah mendapat kuasa di dinia dengan banyak kemenangan adalah sedikit; dan mereka yang telah mengalami banyak kekalahan adalah banyak. Dalam sesebuah dunia yang mempunyai kemungkinan yang terhad, keganasan jarang sekali menjadi ‘mutlak’. Keganasan ialah satu cara untuk sesuatu penamat yang dicapai dalam sesuatu keadaan yang berkembang. Segala sikap yang ditanggungkan yang mana kejayaan sesuatu kegiatan itu bergantung mestilah dipelihara dengan teliti. Tumpuan yang istimewa mestilah diberi kepada agen-agen peribadi golongan elit dan juga terhadap pengertian mana-mana perubahan sosial untuk menukarkan imbangan pertempuran yang berkesan. Justeru, ‘kuasa’ dalam politik tentang peperangan yang diamalkan elit yang berjaya bergantung kepada penyelarasan beberapa aspek nyata yang tertentu tentang keseluruhan perbuatan sebagai satu pertubuhan propaganda peperangan.

Penggunaan ‘kuasa’ barang-barang dalam serangan dan pertahanan elit adalah kaedah dalam bentuk pemusnahan, penangguhan dan pembahagian. Terdapat juga perbuatan sabotaj atau penutupan; mogok, pemulauan, senarai hitam, tidak bekerjasama, pencatuan, meletak harga tinggi dan rasuah. Pemusnahan harta benda dikatakan berkait rapat dengan penggunaan keganasan kepada manusia. Seperti yang kita ketahui, seseorang elit tertakluk kepada penentangan dari dalam apabila ia gagal untuk menyesuaikan dengan kemakmuran. Keadaan ketidakamanan mungkin ditunjukkan secara tidak rasional terhadap lambang adan amalan pihak pemerintah. Dalam masyarakat moden, adunan timbal-balik kehidupan ekonomi sudah menjadi terlalu membimbangkan, justeru kedudukan golongan elit akan bertukar jika berlaku pertukaran jumlah barang-barang dan harga. Oleh itu, kita terpaksa menumpukan perhatian kita kepada strategi dan taktik perhubungan ‘ekonomi’. Terdapat dua cara penting untuk mengarahkan penyaluran barang-barang dan perkhidmatan di mana keselamatan elit selalunya terjamin dengan menggabungkan kedua-duanya. Kita boleh membezakan di antara sistem catuan dan sistem meletak harga. Catuan ialah satu tindakan yang memperuntukkan barang-barang atau perkhidmatan tertentu untuk penggunaan atau untuk digunakan dalam pengeluaran. Manakala meletakkan harga ialah satu tindakan yang menetapkan turutan yang longgar terhadap barang-barang dan perkhidmatan. Seperti binatang yang rungsing, seluruh penduduk boleh diperkecilkan hingga menjadi segerombolan binatang buas yang cemas, mempunyai kulit keras, bertindak balas berlebihan walaupun dipujuk manja ataupun ditendang sekalipun. Pada masa tertentu, hasil yang besar telah diharapkan dari kesan pemogokan umum sebagai satu cara revolusi sosial tetapi ia kelihatan sebagai satu senjata yang terhad kegunaannya. Oleh sebab keadaan yang mengancam dari dalam mahupun dari luar, para elit dalam sesebuah komuniti akan bertindak melalui dasar-dasar yang tidak tetap, seperti memusatkan kuasanya dan kemudian membahagikan kawalan barang-barang dan perkhidmatan penting; mencatu dan kemudian mengadakan perletakan harga kadangkala untuk mendorong dan kadangkala untuk memaksa dan kadangkala untuk mengalih haluan. Justeru, golongan elit walaupun ketiadaan kuasa terhadap barang-barang dan perkhidmatan namun ‘kuasa’ dalam politiknya dapat menetapkan haluan sesebuah kerajaan yang diterajuinya.

Peningkatan seseorang elit juga bergantung ke atas kejayaannya menggunakan kaedah pengamalan yang diamalkannya. Atur cara seperti ini mengandungi semua cara tentang bagaimana golongan elit diambil dan dilatih, yakni semua bentuk yang telah diperhatikan dalam membuat dasar dan dalam menguruskan pentadbiran. Sesebuah perlembagaan, sama ada bertulis atau tidak melingkungi segala pengamalan yang dianggap paling penting kepada peraturan kerajaan dan peraturan sosial. Pemerintahan yang berdasarkan undang-undang dasar adalahsatu sikap khas terhadap daya perkataan yang bertulis, iaitu “satu nama”. Oleh kerana pengamalan adalah satu penghalusan yang berubah dalam keseluruhan perubahan, seseorang elit yang sudah teguh kedudukannya boleh menggunakannya untuk mempertahankan diri sendiri dengan cara katarsis ataupun dengan cara penyesuaian semula. Katarsis adalah satu cara yang tidak berbahaya untuk melepaskan ketegangan. Ia boleh dipelihara dengan perbuatan yang sederhana seperti perbuatan yang menunjukkan perhatian terhadap keluarga simati. Pihak pemerintah adalah waras sekali untuk mengambil berat terhadap malapetaka yang menimpa masyarakat serta menunjukkan simpati yang sepenuh hati terhadap yang terselamat. Bagi maksud pertahanan dengan menggunakan katarsis bersama dengan sedikit penyesuaian semula, pemerintah yang wujud boleh mengharapkan penyusunan semula mengikut selok-belok pemerintahannya. Perkara-perkara yang tidak boleh mengikut status undang-undang yang sah telah berdikit-dikit dihapuskan dengan semangat perjuangan yang bersungguh-sungguh dan tenaga yang banyak. Dalam keadaan krisis, golongan elit lebih menghargai sifat menurut perintah dan sifat bertindak mengikut pendapat sendiri. Dalam keadaan begini, pemimpin-pemimpin negara merasai diri mereka pulih daripada kegusaran dan lalu mereka memujuk untuk mengetahui betapa perlunya penyelarasan yang boleh dihormati. Bagi seorang elit dan penentang elit, adalah waras untuk mengelakkan kesetiaan yang keterlaluan kepada kaedah yang tertentu. Pengaliran pasang-surut keadaan ketidaktenteraman yang berkumpul, mengancam apa-apa sahaja yang menghina dan apa-apa sahaja yang akan memalukan mengikut pergolakan masa. Maka melalui pengamalan yang tertentu, ‘kuasa’ dalam politik seseorang elit akan bertambah kukuh dan terjamin.

3.2.3 Hasil
Bahaagian ketiga dalam buku tulisan Harold Lasswell menerangkan tentang ‘kuasa’ dalam politik yang berkaitan dengan hasil yang meliputi aspek kemahiran, kelas, personaliti dan sikap yang diperolehi oleh seseorang elit.

Menurut Lasswell, sesuatu kemahiran adalah satu operasi yang boleh diajar dan dipelajari. Kemahiran meliputi aspek memanipulasi barang-barang atau lambang barang-barang (kemahiran buruh kasar atau kemahiran jurutera), teknik memanipulasi lambang istiadat, teknik keganasan, teknik organisasi, teknik tawar -menawar, teknik propaganda dan teknik analisis.

Analisis politik juga merangkumi akibat daripada kejadian yang berkaitan dengan kelas. Kelas ialah suatu kumpulan masyarakat yang besar yang mempunyai fungsi, status dan pandangan yang sama. Revolusi ialah satu contoh suatu peralihan dalam susunan kelas bagi golongan elit.

Dalam beberapa segi persoalan mengenai politik, personaliti adalah berkait rapat kepada sikap harian dalam sesebuah masyarakat yang mementingkan diri sendiri daripada analisis mengikut kelas atau kemahiran. Walaupun begitu, bukanlah nasib individu biasa yang menjadi pokok persoalan kita. Analisis politik lebih mementingkan sesuatu yang keseluruhan dan bukan sesuatu yang unik. Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan atau kegagalan sesuatu jenis personaliti, misalnya pengganti elit yang dibandingkan dalam bentuk pembangunan personaliti sama ada pemimpin terdahulu ataupun selepasnya.

Pelbagai bentuk personaliti mungkin mempunyai pandangan politik yang sama dan ia termasuk dalam golongan elit yang sama. Pada suatu masa sikap utama elit yang memenuhi suasana mungkin berupa ‘tempatan’, ‘serantau’, ‘kebangsaan’ atau ‘antarabangsa’. Pada masa lain pula sikap-sikap biasa yang memenuhi suasana mungkin berupa kesetiaan kepada ‘kelas’ atau ‘kemahiran’.

Kesimpulannya, berdasarkan pengkajian politik ini, Harold Lasswell menegaskan tentang pengaruh dan yang berpengaruh. Pengaruh ditunjukkan dengan tuntutan ke atas nilai-nilai seperti kehormatan, pendapatan dan keselamatan. Hasil analisis politik bergantung juga kepada ketokohan elit. Seseorang elit yang berjaya menguasai kaedah dan hasil yang dikehendaki kepada ‘kuasa’ dalam politiknya akan berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai seseorang yang dihormati dan berjaya mencapai matlamat yang dikehendakinya.


BAHAGIAN C: PERKHIDMATAN SOSIAL DAN KEPENTINGANNYA KEPADA RAKYAT
4.1 Pengenalan
“Negara sebagai pemberi yang berusaha memberikan perkhidmatan-perkhidmatan sosial dan memastikan taraf hidup yang minima dipenuhi”. Antara perkhidmatan-perkhidmatan sosial tersebut meliputi penduduk, kesihatan, pengangkutan dan perhubungan, keselamatan awam serta pencemaran alam sekitar. Antara objektif utama perkhidmatan-perkhidmatan sosial tersebut disediakan bagi memastikan taraf hidup yang minima disediakan untuk rakyatnya sejajar dengan hasrat kerajaan bagi mencapai kesepaduan dan ketabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mantap.
4.2 Kebajikan
Sejajar dengan konsep masyarakat penyayang, Kerajaan terus menyediakan perkhidmatan kebajikan kepada sebahagian masyarakat yang kurang bernasib baik. Perkhidmatan tersebut di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat meliputi perkara-perkara berikut:
• Perkhidmatan penjagaan keluarga dan kanak-kanak adalah untuk memastikan penjagaan gantian yang menggalakkan perkembangan semulajadi serta kesejahteraan kepada sebahagian masyarakat yang memerlukan. Sejumlah 17 pusat telah dibina pada tahun 1997, termasuk rumah untuk kanak-kanak, Rumah Seri Kenangan untuk golongan tua dan yang memerlukan dan Desa Binadiri untuk membantu pengemis mengembalikan semula maruah dan harga diri serta menjadi seorang yang berkeyakinan. Pada tahun 1997, pusat tersebut menampung kira-kira 3,022 orang penghuni.
• Perkhidmatan pemulihan untuk golongan kurang upaya supaya mampu menjadi sebahagian daripada masyarakat yang berkeyakinan serta produktif. Pada tahun 1997 terdapat 8 institusi yang menampung seramai 837 penghuni.
• Perkhidmatan Pemulihan Akhlak bagi menyediakan golongan yang menghadapi masalah pergaulan agar dapat berhubung semula dengan masyarakat. Ini termasuk sekolah pemulihan bagi pesalah juvana, rumah tahanan sementara/asrama percubaan untuk memberi perlindungan dan pendidikan semula para juvana dan sebuah institusi bagi melindungi wanita dan gadis yang terdedah kepada masalah moral. Terdapat sejumlah 24 buah institusi pada tahun 1997 dengan kira-kira 1,770 penghuni.
• Perkhidmatan pembangunan sosial untuk membantu golongan cacat meningkatkan kemahiran supaya dapat menempatkan diri dalam suasana pekerjaan yang bersaing. Institusi yang menyediakan perkhidmatan ini ialah Bengkel Daya Klang yang mempunyai kira-kira 40 orang penghuni pada tahun 1997.
4.3 Perumahan
Program perumahan bagi meningkatkan kualiti hidup golongan miskin turut dilancarkan. Pencapaian keseluruhan program perumahan adalah sangat menggalakkan dengan siapnya 859 480 unit rumah. Jumlah ini merupakan 107 peratus daripada sasaran pembinaan rumah yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-7. Pelbagai langkah telah dilaksanakan termasuk perluasan Tabung Pusingan Rumah Kos Rendah dan penubuhan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) serta pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Bersepadu bagi menempatkan semula setinggan di kawasan Bandar. Selain itu, projek pembinaan rumah-rumah bagi golongan rakyat termiskin turut giat dilaksanankan melalui Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). Melalui program-program ini, kadar kemiskinan rakyat berkurangan daripada 8.7 peratus pada tahun 1995 kepada 6.1 peratus pada tahun 1997.
4.4 Kebakaran dan Nahas
Sepanjang tempoh tahun 1993 hingga tahun 1997, jumlah kebakaran meningkat daripada 12,275 kepada 15,134 dengan merosakkan harta benda yang terdiri daripada kedai, kilang, unit-unit perumahan, kenderaan, jentera mesin serta ladang. Penyebab utama kebakaran dikenalpasti berpunca daripada elektrik, putung rokok, percikan bunga api, bahan bakar/kayu api, gas/minyak tanah sama ada daripada punca yang disengajakan atau tidak. Bilangan kecederaan akibat kebakaran, bagai manapun telah menampakkan pengurangan iaitu daripada 90 pada tahun 1993 kepada 77 pada tahun 1997. Jumlah kematian juga berkurangan daripada 62 pada tahun 1993 kepada 42 pada tahun 1997.
Berbagai langkah telah diambil oleh kerajaan bagi menyediakan perkhidmatan kebombaan dan pencegahan kebakaran yang berkesan bagi melindungi nyawa dan harta benda. Ini termasuklah pembinaan balai bomba baru di kawasan bandar dan di pekan kecil, meningkatkan peralatan kebombaan, kempen-kempen kesedaran kepada orang ramai dalam mencegah dan mengawal kebakaran serta menubuhkan pasukan mencegah kebakaran sukarela di kawasan perumahan bagi membolehkan tindakan segera diambil apabila terjadinya kebakaran.
4.5 Maklumat PERKESO
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ditubuhkan sebagai sebuah Jabatan Kerajaan pada 1 Januari 1971 dan pada 1 Julai 1995 ia muncul sebagai sebuah badan berkanun. PERKESO menguruskan skim keselamatan sosial yang memberikan perlindungan kepada pekerja dalam beberapa kejadian di luar jangkaan seperti kecederaan semasa bekerja termasuklah kemalangan sewaktu perjalanan ke tempat kerja, penyakit yang berpunca daripada pekerjaan, hilang upaya dan kematian. Skim ini memberi jaminan ketepatan dan pembayaran pampasan yang setimpal kepada pekerja dan tanggungannya berdasarkan kejadian luar jangkaan tersebut.
Bilangan pekerja yang mendaftar meningkat daripada 6.3 juta pada tahun 1993 kepada 8.3 juta pada tahun 1997 menggambarkan peningkatan lebih 30%. Ini adalah selaras dengan perkembangan ekonomi negara terutamanya perkembangan dalam industri pembuatan, pembinaan dan sektor perkhidmatan. Bilangan kemalangan industri yang dilaporkan telah berkurangan sebanyak 35% iaitu, daripada 133,293 pada tahun 1993 kepada 86,589 pada tahun 1997, hasil dari langkah-langkah keselamatan kerja dan kempen-kempen yang dilaksanakan oleh kerajaan. Bilangan penerima faedah daripada kemalangan perusahaan dan yang berkaitan dengan perusahaan adalah 145,527 pada tahun 1993 dan ini meningkat kepada 194,421 pada tahun 1997.
4.6 Pendidikan
Usaha bersepadu yang dilancarkan oleh kerajaan untuk menambahkan peluang pendidikan dan latihan telah meningkatkan enrolmen di semua peringkat pendidikan bermula daripada pendidikan prasekolah hingga ke peringkat ijazah. Tumpuan khusus diberi untuk merapatkan jurang prestasi antara sekolah di luar bandar dan bandar dengan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta menempatkan lebih ramai guru terlatih di sekolah luar bandar. Dengan ini, pendidikan yang sempurna dapat dinikmati oleh segenap pelusuk rakyat Malaysia khususnya yang berada di luar bandar.
Perkembangan di negara ini dalam penggunaan Teknologi Maklumat (IT) boleh dinilai daripada kadar literasi IT. Ini adalah peratusan penduduk berumur 10 tahun dan ke atas yang mempunyai pengetahuan asas menggunakan komputer bagi sebarang tujuan di dalam persekitaran perhubungan elektronik. Pada tahun 1997, MIMOS menganggarkan kadar literasi IT di Malaysia ialah 8.2%. Berbanding dengan negara lain, kadar literasi IT serta kadar penetrasi di Malaysia masih rendah, yang mana ditunjukkan oleh bilangan komputer bagi setiap 1,000 orang penduduk dan sambungan kepada internet (hos bagi setiap 1,000 orang). Hos internet merujuk kepada komputer yang dihubungkan kepada internet yang mempunyai pengalaman "Internet Protocol" yang tersendiri.
Malaysia masih jauh di belakang negara-negara maju seperti Jepun, AS dan Singapura dalam penggunaan IT tetapi lebih baik jika dibandingkan dengan negara -negara seperti Thailand dan Indonesia. Pada tahun 1993 terdapat 21 komputer bagi setiap 1,000 orang penduduk di Malaysia dan ia meningkat kepada 65 bagi setiap 1,000 orang pada tahun 1997 mencerminkan kadar pertumbuhan purata sebanyak 20.7%. Ini dibandingkan dengan Indonesia yang mempunyai 9 komputer bagi setiap 1,000 orang penduduk pada tahun 1997, Thailand 28, Singapura 316, Jepun 228 dan AS 450. Berhubung dengan sambungan kepada internet, Malaysia mempunyai 1.23 hos bagi setiap 1,000 orang penduduk pada tahun 1997 berbanding dengan Indonesia 0.06; Thailand 0.17; Singapura 13.27; Jepun 6.28 dan AS 35.21.
Bagi meningkatkan tahap Iiterasi IT, Kerajaan telah mengambil tiga pendekatan iaitu mempromosikan literasi IT di sekolah-sekolah; memperbaiki literasi IT di tempat kerja dan meningkatkan kesedaran mengenai IT di kalangan orang ramai.
Bagi menyokong pelaksanaan pembangunan yang didorong oleh produktiviti yang memerlukan tenaga manusia berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan mudah dilatih, kemajuan ketara telah dicapai dalam menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat untuk mengikuti latihan dan pendidikan tertiari. Untuk itu, dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-7, kerajaan telah membina tiga buah universiti dan tiga buah politeknik baru bagi meningkatkan enrolmen di institusi pendidikan awam di peringkat tertiari. Dengan penambahan infrastruktur pendidikan dan latihan ini, rakyat Malaysia dapat mengikuti pengajian tertiari dalam negara dengan kos yang berpatutan.
Selain itu, usaha-usaha penambahan penawaran tenaga kerja berkemahiran melalui peningkatan pengambilan ke sekolah teknik dan vokasional turut dijalankan. Pada tahun 1997, terdapat 31 buah sekolah teknik dan 47 buah sekolah vokasional berbanding dengan 9 buah dan 69 buah pada tahun 1993. Pendaftaran di sekolah teknik meningkat daripada 5,493 pada tahun 1993 kepada 12,358 pada tahun 1997 sementara di sekolah vokasional berkurangan daripada 35,761 pada tahun 1993 kepada 14,211 pada tahun 1997 kerana 20 buah sekolah vokasional telah ditukar menjadi sekolah teknik pada tahun 1996. Sejajar dengan keperluan meningkatkan tenaga kerja sains dan teknik, langkah diambil bagi meningkatkan bilangan pelajar yang mempunyai asas yang kukuh dalam bidang matematik, sains dan teknikal. Majoriti pelajar sekolah teknik biasanya meneruskan pelajaran mereka di pelbagai institusi pendidikan tinggi. Rancangan Kerajaan adalah untuk menukar kesemua sekolah vokasional kepada sekolah teknik menjelang tahun 2000 di mana pada masa tersebut dijangka jumlah pendaftaran di sekolah teknik menjangkau ke angka 89,440 orang pelajar.
4.7 Pencemaran Alam Sekitar
Kerajaan menumpukan perhatian terhadap isu alam sekitar untuk membenteras pencemaran, contohnya pencemaran air di mana ia boleh menjejaskan pendapatan bagi nelayan-nelayan sama ada laut dalam, persisiran pantai dan sungai. Salah satu punca pencemaran pesisiran pantai adalah dari kesan tumpahan minyak yang berterusan. Pada tahun 1993, 24 kejadian tumpahan minyak dilaporkan di sepanjang Laut China Selatan dan Selat Melaka. Ia meningkat kepada 93 pada tahun 1995. Kebanyakan kejadian berpunca daripada perlanggaran kapal tangki minyak, kebocoran paip, pengeluaran minyak, kebocoran semasa pemindahan dan pembersihan tangki minyak. Bahaya yang dihadapi adalah kemasukan tumpahan ke dalam kawasan-kawasan yang sensitif seperti kolam ikan dan paya bakau di pesisiran pantai.
Bagi mengatasinya, Jabatan Alam Sekitar telah mengetatkan peraturan penangkapan dan telah meningkatkan langkah pengawasan tumpahan minyak dan 'desludging' oleh kapal-kapal yang belayar di kawasan perairan Malaysia. Pelan Kontigensi Tumpahan Minyak Kebangsaan telah diperkukuhkan lagi dengan pembentukan Jawatankuasa Bagi Melawan Tumpahan Minyak di setiap negeri dan Tabung Pembersihan Pantai. Malaysia juga telah mengesahkan Konvensyen Antarabangsa bagi mencegah pencemaran daripada kapal-kapal pada 1 Mei 1997 dan Konvensyen Antarabangsa mengenai Persiapan Pencemaran Minyak, Kerjasama dan Tindakbalas pada 30 Oktober 1997. Konvensyen-konvensyen tersebut melibatkan pencegahan dan pengawasan, pencemaran daripada tangki-tangki dan mengadakan kerjasama antarabangsa terhadap kejadian tumpahan minyak. Langkah-langkah tersebut telah berjaya mengurangkan bilangan kejadian tumpahan minyak kepada 23 pada tahun 1997 berbanding dengan 60 kejadian tumpahan minyak pada tahun 1996.
Walaupun berbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan dalam melaksanakan undang-undang dan peraturan alam sekitar, bilangan pesalah yang didakwa di bawah Akta dan Peraturan Alam Sekitar 1974, terus meningkat. Pada tahun 1997, sejumlah 275 kes telah didakwa berbanding dengan 113 kes pada tahun 1993. Kira-kira 60% daripada kesalahan yang dilakukan pada tahun 1997 berhubung dengan kes pembuangan bahan-bahan kotoran yang melebihi kadar yang telah ditetapkan dan melanggar peraturan di bawah akta. Lain-lain kesalahan adalah berhubung dengan pembakaran terbuka serta membabitkan pengendalian bahan buangan.
Jabatan Alam Sekitar telah mengambil langkah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang perlunya pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar. Maklumat mengenai alam sekitar diedarkan kepada masyarakat dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), sekolah, institusi pendidikan tinggi dan sektor swasta.






PENUTUP
Kesimpulannya berdasarkan fakta-fakta di atas, jelaslah bahawa melalui politik maka muncullah negara dan kerajaan manakala institusi politik pula berperanan sebagai institusi sosial untuk kestabilan masyarakat. Hubungan dan keperluan yang semulajadi sebenarnya telah wujud antara manusia dan politik. Selain itu, dapat difahami daripada kajian ini, hubungan dan keperluan tersebut juga melalui tujuan manusia berpolitik, iaitu bagi memenuhi ciri-ciri fitrahnya yang berkeinginan dan bercita-cita, seperti menjadi pemimpin, pentadbir dan sebagainya. Seterusnya, fungsi politik itu sendiri, terutamanya dalam tujuan menegakkan sesebuah negara; memperjuangkan identiti dan kehormatan negara serta bangsa; dan sebagai satu instrument dalam proses pembentukan negara serta bangsa. Justeru, jelas hubungan manusia dan politik sebagai satu jalinan yang tidak dapat dipisahkan.










RUJUKAN

Harold D. Lasswell (1978).Politik: Siapa Mendapat Apa Bila Bagaimana.Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Ghazali Mayudin (2002). Politik Malaysia: Perspektif Teori dan Praktik. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi

Katni Kamsono Kiblat (1999).Asas Ilmu Politik.BIROTEKS, ITM, Shah Alam

Sekolah Pembangunan Sosial, UUM (1998). Pengenalan Kepada Sains Sosial.Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Kuala Lumpur

Mohd. Hatlah Piei (1987). Malaysia: Isu-isu Pembangunan. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Malaysia (1992). Dasar-dasar Pembangunan Malaysia. Intitut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Kuala Lumpur

Ismail Yusoff (2004).Politik dan Agama di Sabah. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi

Hasnah Hussin & Mardiana Nordin (2007). Pengajian Malaysia.Oxford Fajar Sdn. Bhd. Shah Alam

www.interactive.jpa.gov.my/ezskim/Klasifikasi/klasifikasi.htm

http://pkukmweb.ukm.my/~doris/ex2333/bab%20tiga.htm

http://www.treasury.gov.my/le9899/Bab9/frames6.htm