3/16/2010

Kekayaan Yang Hakiki

Islam melihat kekayaan dari segi kekayaan spiritual dan material.

Kekayaan Spritual:
1. Iman dan Takwa
2. Ilmu
3. Berakhlak Mulia

Kekayaan Material:
1. Anak dan Isteri
2. Emas dan Perak (Wang, Pendapatan atau Barang Perhiasan)
3. Kuda (Kenderaan)
4 Binatang Ternakan (Memelihara sendiri atau mengupah orang atau membeli saham-saham syarikat yang terbabit dalam kegiatan haiwan)
5. Kebun-kebun Tanaman (Hartanah lain seperti memiliki bangunan pejabat, kedai, rumah dan ladang selain saham-saham syarikat dalam bidang hartanah)


Had Minimum Kekayaan (Sekiranya kita ditakdirkan kaya)

Dalam Islam, harta kekayaan dapat dibahagikan kepada dua iaitu:
1. harta awam (public ownership)
2. harta persendirian (private ownership)


Islam tidak meletakkan sebarang had kekayaan maksimum dalam bentuk kuantiti atau kualiti. Namun pemilikan harta kekayaan individu dibenarkan selepas memenuhi keadaan berikut:

1. Harta kekayaan hendaklah sesuatu yang dibenarkan oleh syarak (harta kekayaan yang dimiliki hendaklah sesuatu yang dibenarkan oleh syariat Islam atau ringkasnya, harta itu perlu halal).
2. Harta kekayaan perlu digunakan dengan sebaiknya (harta kekayaan perlu menjadi jalan kepada pemiliknya mendekatkan diri dengan Tuhan).
3. Harta kekayaan perlu digunakan secara berterusan (constant utilization) yakni Islam tidak membenarkan kekayaan itu dikumpulkan dan dibiarkan beku tanpa dimanfaatkan sepenuhnya.
4. Memenuhi tuntutan-tuntutan wajib pemilikan harta kekayaan. Antaranya:
i. Membelanjakan kekayaan
ii. Mengeluarkan zakat
iii. Menunaikan haji
iv. Memerangi riba

Apabila seseorang itu mematuhi semua perkara di atas, dia berhak mengumpulkan kekayaan. Semakin berharta seseorang itu, semakin banyak cabarannya dalam memenuhi kesemua perkara yang dinyatakan di atas.



Rezeki

Tuhan memberikan rezeki kepada manusia kepada manusia dalam pelbagai bentuk seperti:
1. Anak-anak, keluarga dan keturunan.
2. Kesihatan tubuh badan.
3. Ketinggian ilmu pengetahuan.
4. Kekayaan harta benda.
5. Hubungan sosial dan silaturahim.
6. Kedudukan sosial dan pengaruh.
7. Peluang keemasan dan kesempatan.
8 Keselamatan daripada kemalangan dan bala bencana.
9. Cita-cita yang tercapai dan hajat yang terlaksana.
10. Terlepas daripada satu-satu beban.

Rezeki yang diberkati membuatkan seseorang itu semakin hampir kepada Tuhan. Kesannya, terbit rasa syukur yang mendalam dalam diri seseorang. Semakin banyak dia diberikan rezeki, semakin dia menjadi tawaduk dan bertambah rasa syukur di dadanya. Justeru, rasa syukur hanya terbit daripada rezaki yang berkat. Petunjuk rezeki yang diterima mendapat keberkatan adalah meningkatnya rasa syukur seseorang kepada Tuhan.

Sebaliknya, apabila seseorang itu mendapat semakin banyak kurniaan dan dia menjadi semakin jauh daripada Tuhan, itu tandanya apa yang diterimanya tidak berkat tetapi mendapat laknat. Apa yang diterima bukanlah rezeki tetapi hanya pemberian material yang membinasakan.

Ingatlah perolehan material yang dikecapi dengan cara maksiat ataupun secara haram tidak membawa hakikat manfaat yang sebenarnya. Ukuran manfaat yang hakiki adalah manfaat rahmat yang bakal diterima diakhirat kelak. Sangat malang apabila segala yang kita miliki di dunia ini hanya membawa kecelakaan di akhirat kelak.




Kata-Kata Renungan

Kaya dengan Mengingati Mati

“ Semakin tua, bertambah hampir diri kita dengan kematian.
Oleh yang demikian, kita sering melihat keadaan di mana orang yang semakin berumur lazimnya banyak melakukan amal ibadah dan mengurangkan aktiviti keduniaanya.

Manakala bagi orang muda pula, kematian itu biasanya dirasakan jauh.
Oleh itu, orang-orang muda lebih galak dan aktif dengan hiruk-pikuk kehidupan dunianya. ”




Riba (Jihad Memerangi Riba)

Dari segi bahasa, riba membawa maksud meningkat, bertambah ataupun berlebihan.
Secara istilah, pengertian riba lebih jelas dengan melihat dua kategori utama riba iaitu:

1. Riba nasiah ataupun riba jahiliah
2. Rina al-Fadhl

Bagi kategori riba yang pertama iaitu riba nasiah, ia melibatkan penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang disyariatkan oleh pemiutang iaitu pemberi pinjaman.
Sama ada rendah ataupun tinggi kadarnya ke atas penghutang iaitu penerima pinjaman ataupun mungkin juga lebihan itu dijanjikan sendiri oleh penghutang.
Biasanya, riba kategori ini wujud dalam setiap pinjaman yang sebelumnya ia disyariatkan harus memberi tambahan atas pinjaman pokok yang diberikan.

Nasiah bermaksud penangguhan kerana pemimjam dikenakan riba berikutan penangguhan masa pembayaran. Ini adalah riba yang biasa kita lihat diamalkan dalam sistem perbankan konvensional.
Hakikatnya, ia juga dikenali sebagai riba jahiliah kerana masyarakat Arab Jahiliah terkenal dengan amalan riba seperti ini.
Riba jahiliah ataupun riba nasiah turut dikenali dengan nama riba Quran kerana pengharaman riba jenis ini datang daripada Quran.


Kategori kedua riba dikenali riba al-fadhl.
Daripada segi istilah, riba al-fadhl ini wujud dalam transaksi pertukaran barangan riba. Al-Syaikan menceritakan, daripada Abu Said al-Khudari, Nabi Muhammad s.a.w. berkata, “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma dan garam dengan garam; ditukarkan dengan sama, segenggam dengan segenggam. Sesiapa uang menambah ataupun meminta menambah, ia melakukan riba. Sama ada yang meminta ataupun yang memberi, dalam hal itu sama sahaja”.

Dalam hadis lain, daripada Muttafaqalaih, Abu Said al-Khudari menceritakan, “Bilal datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan membawa kurma kualiti Barni iaitu kualiti baik. Lalu Nabi Muhammad bertanya kepadanya, “Dari mana kamu dapat kurma itu?” Bilal menjawab, “Kami punya kurma yang berkualiti rendah lalu kami tukar beli dua bahagian kurma itu dengan satu bahagian kurma yang lebih baik.” Nabi Muhammad s.a.w. berkata, “MasyaAllah, itu juga adalah perbuatan riba. Jangan kamu lakukan. Sekiranya kamu mahu membeli kurma yang berkualiti baik, juallah dahulu kurmamu itu(berkualiti rendah), kemudian kamu belilah kurma yang kamu inginkan (dengan duit yang diperolehi)”.

Daripada hadis di atas, riba al-fadhl wujud dalam transaksi yang melibatkan pertukaran barangan riba seperti enam barangan yang disebutkan dalam hadis di atas. Ataupun dalam pertukaran mata wang apabila wujud perbezaan nilai dalam bentuk kualiti ataupun kuantiti mahupun apabila wujud penangguhan dalam waktu pertukaran.
Contohnya, riba al-fadhl dapat wujud dalam:
1. Pertukaran dua dinar bagi satu dinar, di mana wujud perbezaan kuantiti.
2. Pertukaran satu kilogram gandum gred B (berkualiti rendah) bagi satu kilogram gandum gred A (berkualiti tinggi). Wujud perbezaan kuantiti.
3. Pertukaran dua kilogram gandum gred A bagi satu kilogram gandum gred A, di mana wujud perbezaan kuantiti.
4. Pertukaran satu dolar Amerika bagi RM3.70 tetapi pertukaran mata wang ini tertangguh di mana individu A menerima dolar ini terlebih dahulu tetapi hanya memberikan RM3.70 kepada individu B pada keesokannya. Ertinya, tidak sah seseorang menjual dolar ($) dengan ringgit (RM) apabila terselang oleh waktu. Sekiranya mahu sah, ia perlu dibayar pada waktu itu juga.

Dalam mengungkap persoalan riba, Imran N. Hosein di dalam bukunya The Prohibition of Riba in the Quran and Sunah juga menegaskan riba juga dapat terbit dalam konteks lebihan yang wujud kepada satu pihak atas kerugian yang terpaksa ditanggung orang lain. Ringkasnya, elemen riba tercetus dalam keadaan di mana lebihan yang diperolehi seseorang terbit tanpa sebarang pertukaran yang mempunyai timbal balik yang setara (equal counter value).

Ini berbeza dalam kes jual beli di mana keuntungan (bukan riba) yang diperoleh penjual adalah wujud daripada pertukaran yang mempunyai nilai ekonomi atau nilai tambah yang munasabah. Selaku pembeli, kita tahu penjual turut memasukkan kadar untung dalam harga yang dicaj. Pembeli terima harga yang diletakkan kerana nilai tambah yang diperoleh (seperti dalam bentuk pakej yang menarik, keselesaan mendapatkan barangan dan sebagainya).

Terdapat banyak bentuk riba
Ibnu Majah dan Baihaqi melaporkan, daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad s.a.w. berkata, “Riba itu terdiri daripada 70 pintu (bentuk yang berlainan), serendah-rendah dosanya adalah seperti berzina dengan ibu sendiri”.

Berdasarkan hadis ini, kita pasti tertanya-anya apakah bentuk-bentuk lain riba sedangkan yang begitu jelas kepada kita dewasa ini adalah riba yang wujud atas pinjaman yang dibuat daripada institusi-institusi kewangan konvensional sahaja.

Merujuk hadis di atas, Imran N. Hosein juga mengatakan menjadi tanggungjawab para ilmuan dan ulama bagi mengenal pasti bentuk-bentuk riba turut berevolusi mengikut perkembangan semasa. Beliau memberikan beberapa contoh transaksi yang menurutnya adalah riba ataupun mempunyai elemen riba:
1. Sindiket bidaan palsu di mana pembida palsu meletakkan harga barangan yang dilelong pada aras tertentu (bidaan palsu) supaya pembida-pembida lain teruja dan mula membida bermula daripada aras palsu tadi.
2. Menyorok barang di mana ini dibuat supaya harga barangan itu meningkat. Peningkatan palsu ini dikira sebagai mempunyai elemen riba.
3. Monopoli yang mengeksploitasi kedudukannya dengan meletakkan harga yang tinggi atas kepentingan diri sendiri tanpa menghiraukan kepentingan umum.
4. Rasuah.
5. Loteri.
6. Sistem piramid.